SAZALI SAMAD (tengah) bersama pemain skuad bola sepak remaja negara dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Bukit Jalil, baru-baru ini. |
KUALA LUMPUR: Lemang, ketupat, rendang, serunding antara juadah wajib pada pagi Hari Raya Aidilfitri, namun jaguh bina badan negara, Sazali Samad mengakui sudah lebih 15 tahun dia tidak merasai kenikmatan makanan tersebut demi menjaga rutin pemakanannya.
Katanya, setiap kali ingin menyertai kejohanan bina badan dia perlu mengamalkan disiplin diet pemakanan yang ketat supaya dapat menjaga kualiti otot serta mendapat bentuk yang diinginkan.
“Antara pengorbanan terbesar saya sepanjang bergelar atlet adalah saya sudah lebih 15 tahun tidak menikmati juadah Hari Raya Aidilfitri seperti orang lain dan saya mampu mengambil bau sahaja.
“Tiada apa yang perlu dirugikan sebab sekiranya inginkan kejayaan sudah pasti perlukan pengorbanan dan sebab itu saya perlu menjaga diet pemakanan saya dengan rapi.
“Lazimnya adik saya akan membuat rendang istimewa untuk saya apabila dia akan menggantikan santan kepada susu rendah lemak, manakala lagi dua minggu sebelum kejohanan saya perlu minum air suling sahaja.
“Dari dulu lagi saya tidak pernah menjamah kuih raya dan rendang yang sedap-sedap kerana saya hanya menjamu ketupat kosong dan nasi impit sahaja tapi hasilnya amat bagus,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini baru-baru ini.
Sazali yang menggemari kuih tradisional batang buruk itu sedang memburu gelaran Mr. Asia buat kali ke-10 pada Kejohanan Bina Badan Asia di Tashkent, Uzbekistan pada 27 September hingga 3 Oktober.
“Pada kejohanan itu nanti saya akan menyertai kategori 75 kilogram sebab sekiranya saya mahu mengambil bahagian dalam 70kg saya perlu pergi ke sauna selama empat jam.
“Sehingga kini saya tidak mengalami sebarang kecederaan tapi saya perlu menjalani rawatan pada bahagian otot namun ia tidak menjejaskan rutin latihan saya,” ujarnya lagi.
Sumber: Utusan Malaysia | Sukan | 19 Julai 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan