KOTA BHARU: Gara-gara cuba memberi rasuah sebanyak RM100 kepada seorang anggota polis, seorang pemandu bot penambang berusia 43 tahun dihukum penjara dua minggu dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mahkamah Sesyen, Adli Abd Ghalib memerintahkan hukuman penjara itu berjalan daripada tarikh tertuduh, Abd Rahman Zakaria ditangkap iaitu pada 27 Jun 2015.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara selama sebulan kepada tertuduh sekiranya gagal menjelaskan denda.
Tertuduh sebelum itu meminta mahkamah mengurangkan hukuman dengan alasan masih mempunyai anak yang bersekolah dan perlu menjaga ibunya yang sudah tua.
Mengikut pertuduhan, Abd Rahman didakwa memberi suapan sebanyak RM100 kepada seorang anggota polis di Pengkalan Azizah, Rantau Panjang di Pasir Mas pada pukul 7 pagi, 27 Jun 2015 sebagai dorongan untuk melepaskan seorang warga Myanmar yang melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahidah Muslimah Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber: Bernama | 1 Julai 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan