Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 1 Julai 2015

Ekspres Mutiara tambah trip perkhidmatan sempena Aidilfitri

Che Ibrahim Che Ismail (kanan) menyampaikan zakat kepada salah seorang penerima di Hentian Gua Musang, Gua Musang, Kelantan semalam.
KOTA BHARU: Konsortium E-Mutiara Bhd, sebuah syarikat bas berpangkalan di Pengkalan Chepa di sini akan menambah trip perkhidmatan sempena sambutan Aidilfitri nanti.

Pengerusi Eksekutifnya, Che Ibrahim Che Ismail berkata, pihaknya akan menambah lima lagi perjalanan pada waktu malam, menjadikan keseluruhan sebanyak 26 trip sehari bermula 13 hingga 16 Julai ini.

"Ia berikutan permintaan tinggi daripada pengguna di sekitar Lembah Klang yang ingin pulang meyambut hari raya bersama keluarga di kampung halaman, terutama perantau yang berasal dari Kelantan.

"Selain itu, ketiadaan perkhidmatan kereta api yang hanya beroperasi sehingga ke Gua Musang turut menyumbang kepada peningkatan permintaan pada Aidilfitiri ini," katanya di sini.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan pertambahan 20,000 hingga 30,000 pengguna terutama sepanjang empat hari terakhir menjelang Aidilfitri yang dijangka disambut pada 17 Julai.

"Pada hari biasa, seramai 50,000 pengguna menggunakan perkhidmatan bas syarikat ini dan kita jangka ia akan meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus menjelang musim perayaan.

"Pengguna tidak perlu risau kerana kita telah melakukan servis terhadap kenderaan dan pengurusan juga telah memberi taklimat kepada semua pemandu mengenai situasi yang akan mereka hadapi pada musim perayaan," kata Che Ibrahim.

Beliau berkata kesemua 65 buah bas milik syarikat itu turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) sejak beberapa tahun lepas bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan oleh pemandu bas ekspres itu atau pengguna jalan raya jika ada kemalangan membabitkan kenderaan syarikat itu.

"Selain itu sejak tiga bulan lepas, sebanyak empat buah bas kami telah dinaik taraf penggunaan CCTV apabila kamera itu ditempatkan di bahagian depan, dua di cermin pandang sisi dan tempat pemandu bagi memantau perjalanan bas. Jika hasil yang diberi adalah positif, kita akan tambah bilangan CCTV ini kepada bas-bas lain juga," katanya.

Sumber: Bernama | 1 Julai 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan