Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 1 Julai 2015

Laluan kereta api Pantai Timur dibuka selepas pengesahan keselamatan - SPAD

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) akan membuat keputusan muktamad mengenai pembukaan semula jajaran Pantai Timur yang terjejas akibat banjir selepas menerima laporan dokumentasi serta pengesahan keselamatan landasan kereta api daripada perunding bebas.

SPAD dalam satu kenyataan hari ini berkata laporan itu hanya boleh dikemukakan kepada SPAD oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selepas kerja-kerja pemulihan landasan yang rosak akibat banjir, selesai.

"Buat masa ini KTMB masih belum mengesahkan bahawa kerja-kerja pemulihan selesai. Pengesahan itu adalah kritikal kerana ia akan mengesahkan yang jajaran adalah selamat untuk operasi," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, KTMB telah membentangkan kepada SPAD pada 25 Mei lepas mengenai cadangan kerja baikpulih landasan kereta api antara Gemas - Gua Musang dan Kemubu - Krai untuk mengembalikan keadaan landasan kepada tahap yang selamat bagi penggunaan dan operasi kereta api.

"Sejurus itu KTMB merancang untuk memulakan operasi secara separa bagi laluan yang kritikal di jajaran Pantai Timur sebelum kerja-kerja keseluruhan pembaharuan landasan siap, dengan jaminan bahawa langkah-langkah kawalan yang ketat akan diutamakan," menurut kenyataan itu.

KTMB perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan SPAD di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 untuk memastikan langkah-langkah kawalan (baikpulih) dilakukan dengan sempurna, kata kenyataan itu.

"Dengan itu, KTMB telah diarahkan oleh SPAD untuk mengemukakan semula permohonan tersebut setelah kerja-kerja pemulihan dilaksanakan berserta dokumen sokongan dan pengesahan perunding bebas bahawa keadaan landasan telah diperiksa dan selamat untuk pembukaan semula," menurut kenyataan itu.

Mengenai cadangan pengoperasian perkhidmatan kereta api sektor Ipoh - Padang Besar dan Seremban - Gemas yang telah siap, SPAD sedang bekerjasama dengan KTMB bagi memastikan tahap keselamatan dan keselesaan terjamin.

"SPAD telah memeriksa landasan Ipoh - Padang Besar dan Seremban - Gemas bagi mengenal pasti tahap keselamatan dan keselesaan bagi jajaran tersebut. Ini termasuk aspek keadaan landasan, semboyan, stok kereta dan kemudahan stesen," menurut kenyataan itu.

Katanya walaupun kedua-dua sektor itu siap untuk pembukaan penuh, berdasarkan pemantauan SPAD, set kereta api baharu masih belum memenuhi syarat-syarat yang telah ditentukan.

"SPAD dengan itu mengesyorkan kepada KTMB supaya menggunakan keretapi ETS sedia ada bagi operasi tersebut," katanya.
 
Sumber: Bernama | 26 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan