Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 9 Julai 2015

Kumpulan AmBank salur bantuan tambahan RM250,000 baik pulih 44 rumah mangsa banjir

KOTA BHARU: Kumpulan AmBank bersama Yayasan Azman Hashim akan menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM250,000 untuk membaik pulih 44 rumah di kampung Pasir Era, Kuala Krai, yang rosak akibat banjir Disember tahun lepas.

Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali, berkata sumbangan tambahan itu adalah program susulan AmBank selepas penyerahan 17 buah rumah baharu sebelum ini.

"Hasil tinjauan dan perbincangan dengan jawatankuasa penduduk kampung Pasir Era kita dapati masih banyak rumah yang perlu dibaik pulih. Sehubungan itu kita bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM250,000 bagi membantu mereka yang memerlukannya," katanya kepada pemberita selepas Program Membeli-Belah Hari Raya AmBank bersama 70 penduduk kampung berkenaan di sebuah pasaraya di sini, Khamis.

Syed Anuar berkata sebahagian peruntukan tambahan itu dibiayai Kumpulan AmBank sementara sebahagian lagi daripada Yayasan Azman Hashim.

Kumpulan AmBank sebelum ini telah menyerahkan 17 buah rumah baharu kepada mangsa banjir yang kehilangan rumah selain membaik pulih 27 buah rumah di kampung Pasir Era.

Sementara itu, seramai 70 penduduk kampung berkenaan termasuk ibu tunggal, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) diberi sumbangan RM200 seorang untuk membeli pakaian raya.

"Aktiviti hari ini adalah sebahagian daripada usaha Kumpualn AmBank untuk menjadikan Hari Raya ini sebagai hari yang lebih bermakna kepada mangsa banjir yang kurang bernasib baik," kata Syed Anuar.

Sesi membeli-belah itu turut disertai artis tanah air, Datuk Hattan atau Datuk Mohd Shukri Shahabudin, dan Datuk Mohd Nor Khalid atau Datuk Lat yang membantu memilih kelengkapan raya kepada kanak-kanak.

Sementara itu, penerima sumbangan, Mohd Ariffudin Ramli, 13, berkata beliau amat bersyukur kerana terpilih menyertai program berkenaan.

"Saya rasa amat bertuah kerana dapat memiliki pakaian baharu seperti kawan-kawan lain untuk hari raya nanti. Tahun lepas saya cuma memakai pakaian harian biasa kerana ayah kurang berkemampuan menyediakannya," katanya.

Katanya, kesemua barangan dan pakaian keluarganya hilang selain rumahnya musnah dalam kejadian banjir tahun lepas.

Sumber: Bernama | 9 Julai 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan