Tunku Salehuddin (kiri) melawat Mustapha dan isteri yang turut menerima rumah transit daripada Kerajaan Negeri Kedah. |
KUALA KRAI: “Alhamdulillah, syukur sangat-sangat pakcik dapat rumah ni,” luah warga emas yang juga penerima rumah transit Kerajaan Negeri Kedah, Mustapha Ibrahim, 73, dari Kampung Karangan, dekat sini.
Mustapha berkata, tahun ini dia dapat beraya di rumah baharu selepas rumah didiami lebih 40 tahun dihanyutkan banjir pada penghujung tahun lalu.
Menurutnya, sebelum mendapat rumah transit, dia dan isteri, Mek Esah Awang Kecik, 75, terpaksa tinggal di masjid dan khemah.
Katanya, dia juga gembira turut menerima bantuan hari raya yang disampaikan Kerajaan Negeri Kedah.
Sambut raya di rumah baharu
Seorang lagi penerima, Wan Nordiana Wan Daud, 27, turut meluahkan rasa syukur memperoleh rumah transit dan bantuan duit raya.
Katanya, bantuan rumah transit itu membolehkan dia, suami dan empat anaknya menyambut Aidilfitri di rumah baharu tahun ini.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kedah yang telah membina rumah transit dan turut menyumbangkan duit raya.
“Duit ini akan digunakan untuk membuat persiapan hari raya untuk anak-anak,” katanya yang masih belum membuat sebarang persiapan untuk menyambut Aidilfitri.
Katanya, pendapatan yang tidak menentu membuatkan dia dan suami tidak membuat persiapan hari raya.
“Tanpa sumbangan ini mungkin kami tidak membuat persiapan hari raya kerana pendapatan hasil menoreh di kebun getah penduduk tidak seberapa,” katanya.
Tak beli baju raya
Che Lijah Mamat, 64, pula berkata, faktor umur menyebabkan dia tidak teruja untuk membeli pakaian baharu untuk menyambut hari raya tidak lama lagi.
Katanya, sambutan Aidilfitri tahun ini agak berbeza selepas ditimpa bencana banjir dan baru kematian suami.
Bagaimanapun, dia gembira mendapat duit raya yang akan digunakan untuk membeli keperluan lain menyambut Aidilfitri.
“ Makcik mungkin tak beli baju raya, sebaliknya beli barangan keperluan untuk menyambut hari raya, tambahan suami baru meninggal selepas banjir,” katanya.
53 mangsa banjir terima rumah transit
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Kedah yang berterusan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Karangan.
Menurutnya, seramai 53 penduduk yang kehilangan rumah menerima bantuan rumah transit.
“Kali ini Kerajaan Negeri Kedah menghulurkan bantuan kewangan kepada mangsa banjir yang hilang rumah dan mangsa banjir lain di Kampung Angkat Kerajaan Negeri Kedah ini.
“Bantuan ini membolehkan mangsa banjir membuat persiapan menghadapi Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Kem Komandan Sukarelawan Makmur Kedah (Sukam) Datuk Paduka Md Rozai Shafian berkata, 53 mangsa banjir yang kehilangan rumah dan mangsa banjir lain di Kampung Karangan menerima bantuan duit raya daripada Kerajaan Negeri Kedah.
“Kita bukan sahaja mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Karangan tetapi turut menghantar bekalan seperti air bersih ke kampung sekitar bergantung atas permintaan,” katanya.
Penyampaian bantuan hari raya disempurnakan Tengku Temenggung Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir turut hadir beramah mesra dengan mangsa banjir di Kampung Karangan serta melawat pasangan warga emas yang turut mendapat rumah transit.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 9 Julai 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan