Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 10 Julai 2015

Perkhidmatan ETS KL - Padang Besar bermula 10 Julai 2015


Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika lawatan kerja di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad Batu Gajah untuk menaiki tren 'Electric Train Service' baharu dari Stesen Batu Gajah ke Stesen Kuala Kangsar hari ini.
KUALA KANGSAR: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Kuala Lumpur-Padang Besar akan bermula esok.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, buat permulaan perkhidmatan tersebut akan dilakukan sebanyak dua kali sehari, iaitu satu perjalanan dari Kuala Lumpur - Padang Besar dan satu perjalanan dari Padang Besar - Kuala Lumpur.

Kata beliau, tren yang mempunyai enam gerabak itu boleh memuatkan 312 penumpang bagi satu perjalanan.

“Sempena Aidilfitri yang bakal disambut minggu depan, saya telah mengarahkan KTMB untuk beri perkhidmatan bagi laluan tersebut (Kuala Lumpur - Padang Besar). Nampaknya kita boleh mula esok kerana telah dapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Kita menjangka ini akan mendapat sambutan orang ramai kerana perjalanan lebih cepat dan selesa, selain pelbagai kemudahan lain yang turut kita sediakan untuk kemudahan penumpang,'' katanya dalam sidang akhbar di Stesen Kereta Api Kuala Kangsar di sini hari ini.

Terdahulu, dalam program lawatan kerja beliau ke Batu Gajah, Tiong Lai bersama-sama pegawai Kementerian Pengangkutan, Keretapi Tanah Melayu (KTM), SPAD dan media dibawa menaiki tren baharu ETS dari Stesen Kereta Api Batu Gajah ke Kuala Kangsar.

Sebelum itu, beliau turut meninjau dan dibawa melawat kilang CRRC Rolling Stock Malaysia (CRRC) yang membina kemudahan pembuatan kereta api dan lokomotif.

Yang turut serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon, Presiden KTMB, Sarbini Tijan; Pengerusinya, Datuk Ir. Nawawi Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Dr. Ismail Bakar dan Naib Presiden CRRC ZELC, Luo Chong Fu.

Tambah Tiong Lai, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar akan melalui 28 stesen yang mengambil masa 4 jam 45 minit.

“Bagi tambangnya pula, setiap kilometer (km), kita kenakan tambang sebanyak 13 sen. Jadi kalau dari Kuala Lumpur - Padang Besar tambangnya sebanyak RM81 manakala Ipoh-Butterworth RM22.50.

“Tren ini bersifat inter-city dan bukannya secara ekspres,'' katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tren baharu tersebut, Tiong Lai berkata, kerajaan telah membeli 10 tren baharu dengan kos RM506 juta untuk perkhidmatan di sektor utara sehingga Padang Besar.

“Setakat ini, tren baharu ini masih belum dapat beroperasi kerana dalam proses pemeriksaan tren dan landasan oleh SPAD. Kita akan cuba mendapatkan kelulusannya secepat mungkin,'' katanya.

Sumber: Bernama | 9 Julai 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan