Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 3 Julai 2015

350 anggota sukarela bantu Bomba Kelantan

PASIR PUTEH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan akan mendapat khidmat 350 anggota bomba sukarela terlatih bagi membantu 572 anggota tetap menjalankan tugas menyelamat jika berlaku kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Penolong Pesuruhjaya Bomba Azmi Osman berkata mereka akan berkhidmat seminggu sebelum dan selepas Aidilfitri di bawah 'Ops Raya'. 

"Kesemua jalan raya negeri dan persekutuan dijangka sesak apabila ramai rakyat Kelantan yang berada di luar negeri ini pulang untuk berhari raya bersama keluarga di kampung masing-masing," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Pejabat Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh di sini, malam tadi. 

Azmi berkata, antara jalan persekutuan yang dijangka sesak ialah jalan Gua Musang - Kuala Krai - Kota Bharu, jalan Jeli - Gaal, dan jalan Pasir Puteh - Kota Bharu

Beliau berkata pihaknya akan memberi lebih tumpuan kepada jalan Gua Musang - Kuala Krai - Kota Bharu memandangkan jalan itu dijangka sesak teruk kerana perkhidmatan kereta api belum dipulihkan selepas rosak akibat banjir Disember tahun lepas. 

Katanya pihaknya juga akan menempatkan pasukan penyelamat di beberapa kawasan berisiko tinggi berlaku kemalangan jalan raya. 

"Biasanya setiap tahun, musim perayaan banyak berlaku kemalangan termasuk kemalangan maut dan kenderaan terbakar apabila pemandu mengantuk dan tidak sabar untuk sampai ke destinasi masing-masing," katanya. 

Azmi berkata selain itu, mulai hari ini sehingga hari raya, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan terhadap pasar raya bagi memastikan tahap keselamatan termasuk laluan kecemasan jika berlaku kebakaran. 

"Biasanya seminggu sebelum raya orang ramai bertumpu ke pasar raya untuk membeli-belah sebagai persiapan menyambut Aidilfitri," katanya.

Sumber: Bernama | 3 Julai 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan