Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 5 Julai 2015

Lebih 30 rumah rosak dilanda ribut di Bachok

BACHOK: Lebih 30 rumah di Kampung Kubang Golok, Bachok di sini mengalami kerosakan dalam kejadian ribut petang semalam.

Penghulu Mukim Kubang Golok, Abdul Halim Che Lah berkata, dalam kejadian pada kira-kira 5.30 petang itu, bumbung kebanyakan rumah berkenaan diterbangkan angin kuat.

"Ia memaksa beberapa mangsa menumpang tidur di rumah jiran malam tadi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang membuat bancian untuk mengetahui jumlah kerugian sebenar untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan bantuan kepada mangsa sebelum Aidilfitri.

Imam Masjid Mukim Kubang Golok Yacob Abdul Rahman, 65, berkata, kubah rumah ibadah itu diterbangkan angin ribut sejauh kira-kira 100 meter.

Beliau berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak menjejaskan solat sunat tarawih malam tadi yang dihadiri kira-kira 300 jemaah.

"Saya bersyukur kerana kubah berkenaan tidak menghempap kereta atau orang ramai," katanya.

Ibu tunggal, Hasnah Ali, 52, pula bersyukur kerana kesemua lima anggota keluarganya terselamat apabila bumbung ruang tamu dan bilik tidurnya diterbangkan angin.

Beliau berkata lebih bernasib baik apabila ibunya, Mek Salleh, 85, yang sedang duduk di ruang tamu, sempat diselamatkan menantunya, Faiza Muhamad, 25, yang mendukungnya ke dapur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad ketika dihubungi Bernama berkata polis setakat ini menerima 25 aduan daripada penduduk kampung berhubung kejadian ribut yang merosakkan rumah mereka.

Sumber: Bernama | 5 Julai 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan