KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu yang diterajui kumpulan progresif PAS.
Mohamad yang lebih mesra dipanggil Mat Sabu berkata pembentukan parti politik baharu dibuat atas nama Gerakan Harapan Baharu atau dikenali 'Harapan Baharu'.
"Harapan baharu akan mengasaskan satu penubuhan parti politik baharu yang berteraskan Islam.
"Parti ini akan membantu ke arah penubuhan Pakatan Rakyat 2.0," katanya pada sidang media di sini, Isnin.
Sidang media itu turut dihadiri ahli jawatankuasa penaja parti baharu termasuk bekas calon Presiden PAS, Ahmad Awang serta bekas pemimpin PAS antaranya ialah Salahudin Ayub, Dr Dzulkefly Ahmad, Mohamed Hanipa Maidin, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dr Hatta Ramli, Khalid Samad dan Dr Siti Mariah Mahmud.
Barisan bekas pemimpin PAS tersebut tewas dalam pemilihan parti itu pada awal Jun lalu.
Selain itu Mohamad yang bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa penaja penubuhan parti baharu berkata, politik berteraskan Islam yang ingin di perjuangkan kumpulan itu akan memberi penekanan dalam soal akhlak, moraliti dan amanah dalam tadbir urus.
"Islam yang diperjuangkan bukan dalam bentuk slogan, emosi dan sentimen tetapi sebagai satu tawaran 'rahmat dan keadilan' yang memberi kesejahteraan untuk rakyat dan menjamin kemakmuran negara," katanya.
Pada sidang media yang sama Mohamad turut menjelaskan bahawa Harapan Baharu merupakan kesinambungan kepada perjuangan yang dibawa bekas-bekas Presiden PAS yang terdahulu tanpa menyebut nama penyandang semasa, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sementara itu Setiausaha Harapan Baru, Dzulkefly berkata, keanggotaan parti itu nanti adalah terbuka kepada semua kaum tanpa mengira batasan agama.
"Keahlian parti ini mempunyai dua tahap iaitu ahli penuh dan ahli bersekutu. Tapi kedua-duaya perlu faham dan mendokong cita-cita serta hasrat parti baharu ini.
"Namun bagi kategori ahli bersekutu, mereka tak daftar sebagai ahli penuh kerana beberapa sebab seperi mahu mendokong perjuangan parti ini tapi tak komited untuk mengundi dan diundi bagi memegang jawatan dalam parti," katanya.
Sumber: mStar Online | 13 Julai 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan