Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 27 Julai 2015

Rakyat Kelantan perlukan LPT3

Kesesakan teruk sejauh tujuh kilometer di Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh, Kuala Nerus, Terengganu pada musim perayaan baru-baru ini. Foto ihsan: Berita Harian Online
KUALA LUMPUR: Kesesakan teruk di Plaza Tol Kuala Terengganu baru-baru ini disebabkan ramai rakyat Kelantan memilih untuk menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) untuk pulang berhari raya di Kelantan. 

Kesesakan teruk berlaku sejauh tujuh kilometer untuk keluar Plaza Tol Kuala Terengganu beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan kesesakan teruk juga berlaku untuk memasuki LPT melalui plaza tol berkenaan beberapa hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Keadaan ini dapat dielakkan sekiranya LPT dibina sampai ke Pengkalan Kubor, Kelantan untuk kemudahan penduduk negeri Kelantan dan Terengganu Utara. 

Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang masih belum dihubungkan dengan lebuh raya ekspres dengan ibu kota Kuala Lumpur. 

Projek LPT dibahagikan kepada tiga fasa dan hanya fasa terakhir, iaitu Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dari Kuala Terengganu, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan sejauh 147 kilometer yang masih belum dilaksanakan. 

Projek LPT3 dianggarkan melibatkan kos RM2.4 bilion, iaitu RM1.4 bilion diperlukan untuk menyiapkannya bagi jajaran yang berada di dalam negeri Terengganu, manakala RM1 bilion lagi diperlukan untuk menyiapkan jajaran yang berada di dalam negeri Kelantan. 

Apabila siap kelak, ketiga-ketiga ibu negeri di Pantai Timur dihubungkan dengan lebuh raya ekspres. Ia juga dapat meningkatkan aktiviti perdagangan melibatkan tiga pelabuhan utama di Pantai Timur, iaitu Pelabuhan Kuantan (Pahang), Pelabuhan Kemaman (Terengganu), dan Pelabuhan Tok Bali (Kelantan). 

Selain itu, ia juga dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri pelancongan ketiga-tiga negeri di Pantai Timur dengan akses lebuh raya yang lebih cekap dengan negeri-negeri di sebelah Pantai Barat terutamanya Kuala Lumpur Raya (Greater Kuala Lumpur). 

Oleh itu, Kerajaan Persekutuan diminta supaya dapat meluluskan projek LPT3 ini untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) yang akan bermula pada tahun 2016.

Sumber: Gerbang KBBRI | www.kbbri.blogspot.com

Nota: Artikel daripada laman blog ini tidak dibenarkan sama sekali diterbitkan semula melalui kaedah salin dan tampal (copy & paste) di mana-mana laman sosial lain termasuk laman Skyscraperscity.com, Facebook, blog, dan sebagainya. Hormatilah hasil kerja orang lain dan hentikan budaya salin dan tampal tanpa kebenaran. 

JABATAN PEMBANGUNAN PERSEKUTUAN KELANTAN (JPPK) | LEBUH RAYA PANTAI TIMUR FASA 3 (LPT3) | KEMENTERIAN KERJA RAYA | LEMBAGA LEBUHRAYA MALAYSIA (LLM) | WILAYAH EKONOMI PANTAI TIMUR (ECER) | RANCANGAN MALAYSIA KESEBELAS (RMK11) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan