MACHANG: Kerajaan Persekutuan merancang menggunakan konsep sistem binaan industri (IBS) untuk mempercepatkan tempoh pembinaan rumah kekal bagi mangsa banjir khususnya di negeri ini.
Menteri Kerja Raya, Dato' Sri Fadillah Yusof berkata, sistem tersebut hanya mengambil masa antara 60 hingga 65 hari untuk menyiapkan sesebuah rumah berbanding cara konvensional iaitu sekitar 75 hari.
Bagaimanapun kata beliau, konsep pasang siap itu hanya akan diaplikasikan di negeri ini sekiranya projek percubaan untuk mangsa banjir di Pahang berjaya.
“Kita perlu membuat percubaan terlebih dahulu untuk melihat keberkesanan sistem ini kerana dari segi kos pembinaan, jumlahnya masih sama.
“Cepat dan jimat masa (pembinaan rumah kekal untuk mangsa banjir) jika konsep ini dapat dilaksanakan di negeri ini,” katanya selepas menghadiri taklimat berkenaan banjir di sini hari ini.
Kata Fadillah, Kerajaan Persekutuan sedang berusaha sedaya upaya menyiapkan pembinaan rumah kekal untuk mangsa banjir terutama di daerah Kuala Krai dan Gua Musang.
“Cabaran terbesar kita adalah di dua daerah tersebut kerana berkaitan dengan isu tanah. Sehingga kini, kita masih belum boleh membina rumah untuk 810 keluarga kerana masalah berkenaan.
“Tanah yang diberikan oleh kerajaan negeri di Gua Musang mempunyai masalah seperti jarak yang jauh dari jalan utama dan perlu melalui tanah milik Perbadanan Aset Kereta Api selain terletak di hutan atau bukit.
“Kita hanya menyedari perkara ini selepas siasatan dibuat terhadap tapak berkenaan, namun langkah proaktif telah diambil untuk mempercepatkan projek pembinaan rumah kekal untuk mangsa banjir,” ujarnya.
Tambahnya, 41 buah rumah kekal telah berjaya dibina di negeri ini manakala 73 buah lagi dalam proses pembinaan.
Dalam perkembangan lain, katanya, projek menaik taraf Jalan Pasir Puteh-Gong Kulim-Tok Bali akan memudahkan orang ramai kerana sebelum ini jalan raya tersebut terputus disebabkan pembinaan Terusan Semerak.
“Projek merangkumi pembinaan jalan baharu sejauh 10 kilometer dan kerja menaik taraf dengan jarak 2.5 kilometer.
“Secara keseluruhannya, enam projek pembinaan lebuh raya dan jalan sedang dilaksanakan di negeri ini membabitkan kos RM550 juta,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 9 Julai 2015 | Terbitan 10 Julai 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan