Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 23 Julai 2015

Baik pulih infrastruktur rosak akibat banjir di Kelantan dijangka siap pada September

KM 90 Jalan Kota Bharu - Gua Musang yang rosak teruk akibat banjir Disember tahun lepas - Gambar Fail Bernama
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM380 juta bagi membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir yang berlaku di Kelantan pada Disember tahun lepas.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha berkata peruntukan berkenaan disalurkan kepada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan untuk membiayai kerja-kerja membaik pulih infrastruktur tersebut.

"Sebahagian besar kerja membaik pulih kerosakan tersebut telah siap manakala bakinya akan disiapkan sebelum atau pada September depan," katanya kepada Bernama di sini.

Makhtar berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) diperuntukkan sebanyak RM70 juta bagi membaik pulih jalan dan cerun di 124 lokasi yang rosak akibat banjir dan kesemuanya sudah siap dibaiki.

Antara jalan terbabit ialah Jalan Gua Musang-Lojing-Simpang Pulai, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, Jalan Lama Pasir Mas-Rantau Panjang dan laluan Lebuh Raya Timur - Barat Jeli - Gerik.

Makhtar berkata Jabatan Kesihatan pula diperuntukkan sebanyak RM75 juta untuk membaik pulih infrastruktur yang rosak antaranya penggantian perubatan sebanyak RM26 juta, penggantian kenderaan (RM16 juta), pembaikan kerosakan yang melibatkan hospital (RM10 juta), penggantian peralatan bukan perubatan seperti perabot (RM8 juta), ubat-ubatan (RM5.7 juta) dan pembaikan segera kerosakan 16 klinik desa (RM2 juta).

Jabatan Pendidikan Kelantan diperuntukkan sebanyak RM53.4 juta bagi membaik pulih kerosakan melibatkan 241 sekolah rendah dan menengah akibat banjir iaitu kerosakan fizikal sebanyak RM32 juta, perabot (RM11.7 juta) dan buku teks (RM9.7 juta), katanya.

Beliau berkata kerosakan infrastruktur yang melibatkan jabatan dan agensi lain juga dijangka siap sepenuhnya pada September ini.

Katanya Unit Pemantauan dan Penilaian JPP ditugaskan untuk memastikan kerja membaik pulih itu disiapkan mengikut jadual.

Makhtar berkata kerajaan persekutuan amat prihatin dengan nasib rakyat yang ditimpa musibah banjir luar biasa itu dan memastikan mereka mendapat perkhidmatan terbaik yang disediakan kerajaan.

Sumber: Bernama | 23 Julai 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan