Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 1 Julai 2015

Pembuang sampah di JB kena awasi individu bercermin mata hitam

JOHOR BAHRU: Mereka yang mahu membuang sampah sesuka hati di bandar raya ini mulai esok perlu terlebih mengawasi indvidu yang bercermin mata hitam di sekeliling mereka.

Hal ini kerana individu sedemikan kemungkinan besar merupakan anggota Unit Pencegahan Kekotoran (UPK) Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) yang mampu mengesan pembuang sampah menerusi cemin mata pengintip 'spy sunglass camera' yang dipakai mereka.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata peranti itu yang berdefinisi tinggi mampu merakam visual dan audio selama lapan jam.

"Setakat ini MBJB mempunyai enam alat itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan UPK di sini Selasa.

Beliau berkata enam orang anggota UPK akan berpakaian biasa dan memakai alat itu semasa melakukan penyamaran.

"Orang awam yang tertangkap membuang sampah akan dibawa ke kaunter bergerak bagi melihat kembali video kesalahan yang telah dirakam oleh pihah UPK sebelum mereka diminta menjelaskan kompaun.

"Pesalah akan dikenakan kompaun dengan kadar RM20 bagi pelajar, RM50 bagi orang dewasa dan pelancong.

"Pesalah yang gagal menjelaskan kompaun akan dikenakan tindakan mahkamah manakala pelajar sekolah atau pengajian tinggi akan diminta untuk menghadiri program Kesedaran GAS (Generasi Antisampah)," kata beliau.

Abdul Rahman berkata sasaran utama pemantauan di bawah 'Zon Penguatkuasa Anti-Litter' itu termasuk kawasan siar kaki City Square, JB Bazar, Bazar Karat, JB Sentral dan Larkin Central.

Beliau berkata MBJB akan turut mengedar surat pemberitahuan pelaksanaan program antisampah di pejabat kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, pusat beli-belah dan premis gedung perniagaan.

"Kami berharap dengan adanya unit dan peralatan baru ini, ia dapat membantu mengekang perbuatan membuang sampah dan sekali gus melahirkan lebih ramai masyarakat maju yang menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup mereka," katanya.

Sementara itu beliau menolak dakwaan Anggota Dewan Undangan Pengkalan Rinting, Cheo Yee How bahawa kawasan pelancongan warisan dalam bandar raya Johor Bahru dibelenggu masalah sampah serta memberi ancaman keselamatan kepada pengunjung.

Beliau berkata dakwaan tersebut tidak benar kerana pihak MBJB sentiasa menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam memantau kebersihan dan keadaan semasa di kawasan tersebut.

"MBJB dan polis sentiasa membuat rondaan dan pemantauan di sekitar kawasan itu bagi memastikan keselesaan para pengunjung di samping membasmi aktiviti yang tidak sihat," kata beliau.

Cheo dilaporkan sebagai berkata pihak berkuasa perlu mengkaji semula perancangan Bazar Karat dalam usaha untuk menyelesaikan masalah kebersihan, keselamatan serta tempat letak kereta di sekeliling pusat bandar raya Johor Bahru kerana ia adalah kawasan tarikan pelancong.

Sumber: Bernama | 30 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan