Keadaan TBS yang sibuk dengan pengunjung yang membeli tiket dan pulang ke kampung halaman lebih awal. |
KUALA LUMPUR: Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menjadi tumpuan warga kota untuk pulang ke kampung bagi musim perayaan kali ini berikutan perjalanan bas ke Pantai Timur telah beroperasi sepenuhnya di situ, selain bas ke Selatan.
Pengurus Kanan Operasi TBS, Faizal Redza Redzuan berkata, kesemua tiket untuk ke Pantai Timur juga telah habis dijual untuk untuk tempoh 14 hingga 17 Julai.
Menurutnya, secara keseluruhannya juga, 95 peratus daripada 120,000 tiket yang ditawarkan sempena musim perayaan juga telah terjual.
“Ia tidak termasuk tiket-tiket bagi bas tambahan. Tahun ini merupakan kali pertama bas ekspres ke Pantai Timur beroperasi di TBS, jadi kita jangkakan akan berlaku kesesakan dengan kenderaan yang menghantar penumpang.
“Jadi kita nasihatkan penumpang agar merancang perjalanan sekurang-kurangnya 45 minit awal untuk ke TBS bagi mengelakkan berlaku sebarang kesulitan,” katanya.
Tambah beliau, lebih 300 bas tambahan yang dijadualkan beroperasi di TBS juga menjadikan terminal berkenaan lebih meriah pada musim perayaan ini.
Katanya, kini sejumlah 1,300 bas beroperasi setiap hari di TBS termasuk 40 perjalanan untuk ke Utara.
“Kita menasihatkan orang ramai supaya membeli tiket segera sama ada di kaunter atau secara atas talian dan jangan menjadi mangsa ulat tiket. Walaupun di kawasan terminal kawalan ketat dilakukan, mereka ini dipercayai beroperasi di stesen-stesen LRT sebelum penumpang tiba di TBS.
“Sebarang maklumat boleh hubungi pegawai khidmat pelanggan kami di talian 03-90512000,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Selangor dan Kuala Lumpur | 11 Julai 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan