Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 25 Julai 2015

Sabar tunggu rumah kekal

Husin dan Azman yang lumpuh reda menyambut Aidilfitri tahun ini di dalam khemah.
GUA MUSANG: Seramai 14 keluarga melibatkan seramai 34 mangsa banjir, termasuk dua beranak yang lumpuh di Kampung Aring 2, di sini, reda menyambut Aidilfitri di dalam khemah disebabkan rumah kekal dibina kerajaan untuk mereka belum siap sepenuhnya.

Bagaimanapun, mereka tidak berhasrat mendesak kerajaan untuk mempercepatkan pembinaan rumah kekal itu kerana memahami masalah dihadapi, khususnya melibatkan tanah yang berada di bawah kuasa kerajaan negeri.

Salimah Abdullah, 65, berkata, dia sekeluarga tidak terlalu memikirkan mengenai rumah kekal itu dan bersedia dengan apa jua keadaan termasuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam khemah yang tidak sempurna.

Bahkan, kata Salimah, suami, Husin Ali, 60 dan anak lelakinya, Azman Husin, 38, yang lumpuh, tetap ceria tinggal di dalam khemah walaupun menghadapi sedikit kesukaran untuk bergerak, termasuk ke tandas dan bilik air.

“Makcik yang menguruskan mereka, namun makcik reda dengan ketentuan ALLAH SWT dan tetap bersabar menunggu rumah kekal dibina kerajaan siap sepenuhnya.

“Makcik sekeluarga masih belum dapat melupakan kejadian banjir besar akhir Disember lalu hingga menghanyutkan rumah, tetapi dalam masa sama, tetap bersyukur suami dan anak dapat diselamatkan,” katanya, kelmarin.

Sementara itu, Husin berkata, dia tidak mahu menekan kerajaan untuk mempercepatkan pembinaan penempatan baharu dan sedar penempatan selama ini di kawasan tanah rizab Felda, hanya diberi kebenaran sementara.

Malah katanya, mereka sekeluarga tetap menyambut Aidilfitri seperti biasa kerana khemah itu sudah dianggap seperti rumah sendiri walaupun serba kekurangan.

“Kami, mangsa banjir, tetap mengamalkan budaya kunjung mengunjungi dan menjamu kuih raya sekadar yang termampu,” katanya.

Sementara itu, Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah dalam lawatannya ke Kampung Aring 2, meminta supaya mangsa banjir terlibat terus bersabar di atas kelewatan kerajaan membina rumah kekal untuk mereka.

Menurutnya, masalah itu berlaku disebabkan kerajaan negeri gagal menyediakan tapak untuk membina rumah, tetapi Felda sudah meluluskan kawasan seluas 1.2 hektar untuk membina rumah kekal milik 14 keluarga terlibat.

“Kita sedang proses kelulusan tanah itu dengan Felda dan kerajaan negeri supaya dapat bina rumah kekal dalam masa terdekat, tetapi saya mengingatkan mereka agar tidak mudah terpengaruh dengan hasutan luar.

“Saya kesal dengan tindakan pemimpin pembangkang yang hasut mangsa banjir supaya membenci kerajaan pusat berikutan kegagalan membina rumah kekal untuk mereka.

“Kenyataan menyebut 200 mangsa banjir hidup terpinggir di kampung ini, tidak benar kerana kita telah senaraikan nama mereka dan hanya terdapat 34 mangsa banjir daripada 14 keluarga,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 Julai 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan