Dua beradik berkenaan, Mohd Nazari (dua, kiri) dan abangnya (kanan) dikawal polis keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam. |
KOTA BHARU: Seorang pekerja kedai makan berdepan hukuman sebat selepas mengaku salah atas tuduhan memiliki lapan gram dadah jenis metamphetamine di mahkamah majistret, di sini, semalam.
Tertuduh, Mohd Naslee Mohd Nawi, 32, didakwa memiliki dadah berkenaan di sebuah rumah di Jalan Kubur Maras Kampung Langgar, di sini, pada jam 12.10 malam, 29 Jun lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan sebat tidak kurang dari tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Syahrun Nizam Mohd Misan memohon tarikh sebutan sementara menunggu laporan kimia bagi mendapatkan berat sebenar dadah berkenaan.
Sementara itu, tertuduh juga mengaku salah atas tuduhan memiliki dua gram dadah jenis sama secara bersama-sama dengan adiknya, Mohd Nazari, 27.
Kesalahan itu juga dilakukan mereka pada masa, tarikh dan lokasi sama. Kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 2 September depan.
Mereka masing-masing dibenarkan ikat jamin berjumlah RM9,500 setiap seorang.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 9 Julai 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan