Susulan sikap peniaga di Pantai Irama yang didakwa 'cekik darah', pengguna dinasihatkan hati-hati ketika membeli. |
BACHOK: Susulan pendedahan Sinar Harian mengenai peniaga makanan di Pantai Irama yang didakwa ‘cekik darah’ terutama pada cuti umum dan hujung minggu, Ahli Majlis Daerah Bachok, Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin turun padang meninjau situasi itu, Jumaat lalu.
Beliau berkata, hasil tinjauan dilakukan, didapati harga jualan makanan di Pantai Irama masih berada pada tahap berpatutan, namun tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir peniaga yang mengambil peluang ‘cekik darah’ sempena musim perayaan, baru-baru ini.
“Namun, ia bukanlah indikator yang tepat untuk menggambarkan seperti diuar-uarkan. Cadangan saya agar pembeli lebih berhati-hati semasa membeli, misalnya bertanya terlebih dahulu harga makanan sebelum buat pesanan bagi mengelakkan peniaga ambil kesempatan semasa mengira harga makanan.
“Saya harap perkara ini tidak berpanjangan supaya tidak menjejaskan nama Pantai Irama sebagai Bandar Pelancongan Islam,” katanya dalam kenyataan media kepada Sinar Harian, kelmarin.
Menurutnya, hasil tinjauan juga mendapati harga makanan dikenakan masih seperti biasa iaitu lima keping keropok (RM1), secucuk bebola ikan (RM2), seekor ikan celup tepung (RM5), tiga ekor udang (RM13), seekor sotong celup tepung (RM6 hingga RM12) bergantung kepada saiz.
Sementara itu, perkongsian dalam laman sosial Facebook Perantau Bachok mengenai laporan Sinar Harian itu mendapat maklum balas daripada ratusan pelanggan sebelum ini yang pernah berdepan situasi sama.
Mereka menggesa pihak berkuasa memantau perkara itu bagi mengelakkan nama Pantai Irama tercemar kerana sikap peniaga yang tidak amanah dan tidak menjaga kualiti makanan dijual.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Julai 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan