KUALA TERENGGANU: Kerja baik pulih jalan di 27 lokasi sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang dikenal pasti tidak rata dan boleh mengancam keselamatan giat dijalankan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu, Ir Rosli Othman berkata, kerja baik pulih dilaksana berperingkat.
“27 lokasi jalan dikenal pasti mengarah ke Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu seperti kilometer (KM) 272, KM 281.3, KM 301.6, KM 304.1, KM 424.8 dan sebagainya.
"Kerja baik pulih dijangka selesai sebelum Aidilfitri. Laluan sepanjang 180 kilometer dari Jabor, Kemaman hingga ke Gemuruh, Kuala Terengganu sedang giat diselenggara, ” katanya.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) memperuntukkan RM6 juta bagi menjalankan kerja baik pulih tersebut.
Secara keseluruhan, katanya, permukaan LPT2 dalam keadaan baik, namun terdapat beberapa kawasan berlaku pemendapan terutama berdekatan struktur jambatan dan permukaan lebuh raya beralun di beberapa lokasi.
“Masalah di LPT2 dialami lebuh raya lain, namun disebabkan ia baharu, maka ia lebih jadi perhatian,” katanya.
Rosli berkata, selepas dibaik pulih, ujian dikenali sebagai International Roughness Index (IRI) akan dilaksanakan bagi memastikan jalan mencapai piawaian ditetapkan.
“Selagi ia tidak mencapai piawaian, kerja baik pulih terus dilakukan dari masa ke masa sehingga menepati piawaian ditetapkan,” katanya.
Selain itu, kerja penyelenggaraan jalan di seluruh negeri ini turut dilakukan bagi keselesaan dan keselamatan orang ramai yang akan pulang berhari raya tidak lama lagi.
Katanya, kerja berkenaan termasuk membaiki jalan rosak, menurap permukaan jalan tidak rata dan menambah baik keperluan lain.
Berdasarkan laporan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), faktor manusia punca utama kemalangan di LPT2.
Rosli berkata, memandu dalam keadaan mengantuk, melebihi had laju terutama pada waktu hujan, cuai dan gagal mematuhi arahan keselamatan punca utama kemalangan di lebuh raya itu.
Rosli turut kecewa sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu termasuk penternak yang bertindak memotong pagar keselamatan di sepanjang lebuh raya tersebut sebagai jalan pintas bagi membolehkan lembu dan kerbau melintas lebuh raya.
“Keadaan ini bahayakan keselamatan dan nyawa pengguna terutama pada waktu malam,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat diadakan pada 8 Mac lalu bagi mengatasi masalah haiwan ternakan dan haiwan liar yang berkeliaran sehingga menjejaskan keselamatan pengguna.
“Hasil mesyuarat itu, bermula Mei hingga akhir tahun ini, JKR lantik kontraktor bagi memantau, buat laporan dan baiki pagar runtuh," katanya.
Sumber: Sinar Harian | Nasional | 2 Julai 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan