Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 30 Mac 2016

Tiga kru bot selamat tiba di jeti Pejabat Perikanan Tawang


Tekong bot Ramli Yusuf, 49, (kiri) bersama pembantunya Yaacob Taib, 64, (tengah) dan Fauzi Hussin, 43,
BACHOK: Selepas empat jam ditunda di lautan, tiga kru yang menunggu bot mereka yang rosak ketika keluar memancing Sabtu lepas akhirnya tiba di jeti Pejabat Perikanan Tawang di sini, petang tadi.

Tiga kru tersebut iaitu tekong bot Ramli Yusof, 49, dan dua awak-awak iaitu Yaacob Taib, 64, dan Fauzi Husin, 43.

Bot kelas A itu yang tersadai sejak Sabtu lepas kerana masalah enjin, ditunda oleh sebuah bot Sukarelawan Perikanan (SUPER) yang bertolak dari jeti Geting di Tumpat pukul 2.20 pagi tadi dan tiba di sana pada 9.30 pagi, kira-kira 41 batu nautika dari Pantai Tok Bali, Pasir Puteh dan tiba di sini pada 2.30 petang.

Ramli berkata beliau melahirkan rasa syukur kerana semua kru dan pemancing tiba dengan selamat selepas mereka diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), malam tadi.

Beliau berkata masalah bermula apabila enjin bot disedari rosak pada 12 tengah hari Sabtu lalu, dan mereka meminta bantuan daripada bot nelayan Vietnam yang berada berdekatan.

"Bagaimanapun nelayan Vietnam berkenaan tidak mahu membantu dan saya cuba menghubungi rakan-rakan di daratan menggunakan radio amatur namun tidak berjaya kerana berada di luar kawasan yang boleh dihubungi.

"Saya kemudiannya memutuskan untuk menghanyutkan bot ke kawasan lebih selamat berikutan ombak besar sebelum berjaya menghubungi rakan pada 6 petang semalam dan ditemui anggota APMM pada 10.40 malam tadi," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Terdahulu, lapan pemancing - Muhamad Zaidi, 30, Mohd Shariful Aidi Zakaria, 31, Mohd Faizal Abd Rahman, 31, Suhaimi Mat Jusoh, 33, Mohd Sulaiman Abdul Kadir@Ghazali, 34, Mohd Zaidi Yaacob, 42, Nik Mohd Shukri Nik Mustapa, 49, dan Zakaria Kadir, 54 tiba di Tok Bali, Pasir Puteh pada 1.30 pagi.

Kumpulan pemancing tersebut merupakan penjawat awam termasuk guru dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tinggal di Kota Baharu, Pengkalan Chepa dan Bachok, pergi memancing di kawasan berhampiran pelantar minyak Lawit, kira-kira 64 batu nautika dari Pantai Kemasin, Bachok, pada Sabtu dan sepatutnya pulang keesokannya (Ahad).

Di KOTA BHARU, Shukri yang ditemui di rumahnya di Kampung Che Deris, Pantai Cahaya Bulan di sini berkata beliau melihat sebuah helikopter berlegar-legar di udara selama empat kali sepanjang tempoh empat hari mereka hanyut di lautan.

"Saya kemudiannya melambai kain ke udara agar kru helikopter boleh nampak kami, namun hampa kerana helikopter berkenaan hanya berlalu meninggalkan kami.

"Kami bernasib baik kerana mempunyai bekalan makanan yang mencukupi sepanjang empat hari berada di lautan walaupun terpaksa mencatu makanan," katanya.

Sumber: Bernama | 30 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan