Sebuah lokomotif menjalankan ujian ke atas Jambatan Kereta Api Kemubu pada 16 Mac lalu. |
KOTA BHARU: Perkhidmatan kereta api untuk semua laluan Pantai Timur dijangka beroperasi sepenuhnya bulan depan memandangkan jambatan Kemubu, Kuala Krai yang rosak teruk akibat bah kuning telah selesai dibaik pulih.
Jurutera Wilayah Timur Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd. Alpiza Che Ibrahim berkata, ujian ke atas jambatan tersebut bagi menilai kekuatannya menggunakan satu unit lokomotif telah dijalankan pada 16 Mac lalu.
“Lokomotif tersebut digerakkan dari Stesen Kemubu hingga ke Stesen Gua Musang. Berdasarkan ujian tersebut, kami yakin rel di sepanjang laluan itu berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada penghujung Disember 2014, arus deras bah kuning telah memutuskan jambatan besi rel kereta api sepanjang 500 meter yang merentasi Sungai Galas di Kampung Kemubu yang terletak di kaki Gunung Stong serta kira-kira 200 kilometer dari Kota Bharu.
Satu pertiga daripada binaan besi jambatan itu terdampar kira-kira 100 meter dari lokasi asalnya di tepi tebing sungai berkenaan.
Tanggal 31 Ogos tahun lalu, perkhidmatan kereta api ulang alik bermula seawal pukul 3 pagi dari Tumpat ke Kemubu telah dibuka semula selepas tertangguh hampir lapan bulan akibat bah kuning.
Bagaimanapun, laluan dari Kemubu ke Gua Musang masih tergendala ekoran kerja-kerja membaiki jambatan Kemubu mengambil masa lebih lama untuk disiapkan.
Mohd. Alpiza memberitahu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menjalankan satu lagi ujian pada 30 April ini untuk melihat kesiapsiagaan jambatan Kemubu sebelum dibenarkan beroperasi.
Kata beliau, sekiranya pihak SPAD berpuas hati dan memberikan pengesahan berhubung keadaan jambatan itu, perkhidmatan kereta api yang sebelum ini terputus akan kembali beroperasi seperti biasa.
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 23 Mac 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan