Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 8 Mac 2016

RM9 bilion untuk Kelantan dalam RMK-11 bukti komitmen Kerajaan Persekutuan - Mustapa

KOTA BHARU: Peruntukan besar RM9 bilion untuk Kelantan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) membuktikan Kerajaan Persekutuan komited membangunkan negeri ini, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Lanas itu berkata peruntukan besar itu adalah sejarah bagi negeri itu kerana tidak pernah menerima peruntukan RMK sebanyak itu sebelum ini.

"Ini menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Kelantan supaya kemudahan infrastruktur dapat diperbanyakkan lagi untuk faedah rakyat," katanya ketika membahaskan usul ucapan terima kasih atas titah ucapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, di sini hari ini

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata peruntukan besar itu antaranya bagi pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai, Jalan Utama Tengah (Central Spine Road) dari Kuala Krai ke Mentara, Gua Musang, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, projek tebatan banjir lembangan Sungai Kelantan dan Sungai Golok.

Projek lain ialah pembinaan Hospital Kuala Krai, Hospital Bachok, Maktab Rendah Sains Mara, dan projek luar bandar seperti pembinaan jalan kampung di seluruh negeri, katanya.

Beliau juga berharap Kerajaan Persekutuan dapat melebarkan Lebuh Raya Timur - Barat yang menghubungkan Jeli dan Gerik, Perak sebagaimana yang disarankan Sultan Kelantan semalam, bagi mengelakkan masalah kemalangan maut yang sering berlaku.

Mustapa kesal kerana masih terdapat pihak tertentu yang menuduh Kerajaan Persekutuan menganaktirikan Kelantan dalam soal pembangunan.

Sementara itu, ketua pembangkang Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) dalam perbahasannya memberi penjelasan berhubung pembinaan 416 buah rumah kekal oleh kerajaan Persekutuan bagi mangsa banjir yang kehilangan rumah akibat dilanda bencana alam itu pada 2014.

Beliau berkata sebanyak 287 rumah sedang dalam pembinaan, manakala 229 rumah di peringkat prapembinaan.

Nozula berkata kerajaan Persekutuan mengambil inisiatif sendiri dalam menyediakan tapak untuk pembinaan rumah secara berkelompok kerana tanah yang ditawarkan oleh kerajaan negeri tidak sesuai, antaranya terletak di kawasan berbukit dan menyebabkan kos penyediaan infrastruktur lebih besar daripada kos pembinaan rumah.

Beliau turut meminta kerajaan negeri membuat perancangan yang rapi dan memantau semua projek pertanian termasuk di tanah tinggi Lojing, dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan.

Persidangan dewan bersambung esok.

Sumber: Bernama | 8 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan