Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 14 Mac 2016

LPT2: Pasukan paramedik JPAM Terengganu kurangkan kekerapan operasi

KUALA NERUS: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu akan mengurangkan operasi pasukan paramedik di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berikutan penurunan ketara kes kemalangan di laluan itu sejak kebelakangan ini.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata penurunan itu satu petanda positif tentang kesedaran sikap orang ramai yang semakin berhemah di jalan raya dan hasil pelbagai kempen dijalankan pelbagai agensi kerajaan selama ini.

"Selain JPAM, impak positif ini juga hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta petugas Lembaga Lebuhraya Malaysa yang menjalankan pelbagai operasi di LPT2 selama ini.

"Justeru, JPAM melalui pasukan paramedik hanya akan beroperasi pada waktu puncak, waktu perayaan dan hujung minggu berbanding setiap hari seperti yang dilakukan sebelum ini.

"Bagaimanapun, jumlah anggota yang ditempatkan masih sama iaitu lapan orang yang akan bertugas secara dua syif bermula 8 malam hingga 4 petang dan 4 petang hingga 12 tengah malam iaitu di susur keluar Chukai, Kemaman dan Bukit Besi, Dungun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Pre Hospital Care 2016, di sini hari ini.

Seramai 85 anggota dan pegawai JPAM menyertai kursus itu yang bertujuan memberi pendedahan lebih lanjut berkaitan tugas menyelamat dan merawat mangsa dalam pelbagai situasi kemalangan.

Ia mengandungi 13 subjek merangkumi teori dan amali kecederaan sukan, pendarahan, renjatan, perubatan kecemasan dan satu subjek baharu iaitu dokumentasi di tempat kemalangan.

Beliau berkata simulasi juga diadakan dalam pelbagai bentuk iaitu mangsa yang cedera keseorangan, mangsa berdua dan kemalangan melibatkan mangsa dalam kumpulan yang ramai untuk meningkatkan lagi kemahiran peserta kursus berkenaan.

"Untuk kursus ini, insya Allah akan diperluaskan dan kita akan cuba memohon kepada bahagian pengurusan latihan ibu pejabat JPAM di Kuala Lumpur untuk dijadikan modul kebangsaan sekiranya ia berkesan dan memberi faedah yang besar kepada anggota dan sukarelawan JPAM," katanya.

Sumber: Bernama | 13 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan