Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 28 Mac 2016

RM60,000 padam kebakaran hutan tanah gambut di Bachok

BACHOK: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan terpaksa membelanjakan RM60,000 bagi operasi memadam kebakaran hutan tanah gambut di Kampung Kual, Beris Lalang di sini sejak pertengahan bulan ini.

Pengarah JBPM Kelantan Azmi Osman berkata perbelanjaan itu antaranya bagi menyediakan makanan kepada anggota bertugas memadamkan kebakaran yang berlaku sejak 13 Mac lepas, melibatkan kawasan hutan seluas 70 hektar.

Beliau berkata kebakaran hutan berkenaan adalah berikutan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuat pembakaran ketika keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negara pada masa ini.

"Terdapat individu tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran di kawasan berkenaan menyebabkan kebakaran sukar dipadam sehingga api merebak ke kawasan tanaman seperti ladang getah dan sawit," katanya kepada pemberita ketika meninjau operasi memadamkan kebakaran di kawasan berkenaan hari ini.

Azmi berkata kebakaran tersebut turut menyebabkan kerugian kepada pemilik ladang getah dan sawit itu.

Beliau berkata seramai 150 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok serta bantuan daripada balai bomba lain dan anggota sukarelawan bomba, ditugaskan secara bergilir memadamkan kebakaran berkenaan.

"Anggota terbabit bertungkus lumus memadamkan kebakaran sehingga mereka terpaksa berpanas dan menjejaskan kesihatan mereka, selain menghadapi kesukaran untuk mendapatkan sumber air di kawasan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Ibrahim Roni berkata mereka memulakan operasi itu dari 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Beliau berkata operasi tersebut turut dibantu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan yang menyediakan sumber air.

Sumber: Bernama | 28 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan