Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 9 Mac 2016

652 rumah kekal baharu untuk mangsa banjir di Kelantan dijangka siap Jun ini

KOTA BHARU: Sebanyak 652 rumah kekal baharu (RKB) sedang dalam pembinaan untuk penduduk yang kehilangan rumah akibat banjir pada 2014, dijangka dapat disiapkan pada Jun ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata daripada jumlah itu, sebanyak 516 RKB sedang dibina oleh Kerajaan Persekutuan manakala 136 RKB oleh kerajaan Kelantan.

"Daripada 1,661 RKB yang perlu dibina untuk mangsa banjir hanya tinggal 652 RKB yang kini masih dalam pembinaan dan kita berazam untuk menyiapkannya pada penghujung Jun," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata kelewatan untuk menyiapkan rumah terbabit disebabkan kekangan untuk mendapatkan tanah yang sesuai sebagai tapak pembinaan rumah berkenaan.

"Bagi penduduk yang mempunyai tanah sendiri tidak menjadi masalah untuk kita bina rumah tetapi lebih separuh daripada mereka yang terbabit tidak mempunyai tanah sendiri kerana sebelum ini mereka tinggal di tanah rizab dan mereka ini tidak dibenarkan untuk mendirikan semula rumah di atas tanah rizab tersebut," katanya.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengambil masa untuk mencari tanah yang sesuai sama ada milik agensi kerajaan atau membelinya daripada individu.

Sumber: Bernama | 9 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan