KOTA BHARU: Gegaran gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter di Sumatera Barat malam tadi turut dirasai lebih 300 penghuni di tiga blok kondominium Pelangi Mall setinggi 23 tingkat di sini.
Seorang penghuni Hazram Fauzi, 33, berkata, panik dengan gegaran itu mereka bergegas keluar dari kediaman masing-masing termasuk terpaksa menuruni tangga dari tingkat 19.
"Saya menyedari kejadian itu pada pukul 8.45 malam selepas mendapati lampu rumah bergoyang. Awalnya, saya ingatkan disebabkan angin daripada mana-mana tingkap yang tidak ditutup tetapi selepas diperiksa semua tingkap tertutup.
"Pada masa sama saya rasa macam pening dan dengar suara dan bunyi bising penghuni lain dari luar rumah," katanya ketika ditemui Bernama di sini, Khamis.
Hazram yang menetap di kondominium berkenaan sejak setahun lalu kemudiannya terus mendapatkan tiga anak dan isteri sebelum keluar dari rumah dengan menuruni tangga ke pekarangan penginapan berkenaan.
Beliau berkata, sekumpulan pegawai dan anggota bomba yang tiba kemudiannya melakukan pemeriksaan ke atas bangunan itu sebelum membenarkan penghuni pulang ke rumah masing-masing selepas memastikan keadaan selamat.
"Nasib baik tiada perkara tidak diingini berlaku dan kami dibenarkan bomba untuk naik semula ke rumah kira-kira dua jam selepas itu," katanya.
Detik cemas itu turut dikongsi wartawan New Straits Times, Kalbana Perimbanayagam yang menetap di kondominium tersebut sejak 10 bulan lepas.
"Ketika kejadian, saya tengah buat kopi. Tiba-tiba, saya rasa macam pening dan melihat cawan dan meja bergerak.
"Pada masa sama, saya dengar bunyi bising dari luar rumah. Saya mengambil keputusan untuk turun ke bawah selepas mendapati semua penghuni di tingkat 12 bergegas turun," katanya.
Sumber: Bernama | 3 Mac 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan