KOTA BHARU: Sederet rumah kedai di Jalan Sultan Yahya Petra di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, Timbalan Penguasa Bomba Zaini Bidin berkata rumah kedai separuh papan enam pintu itu dimiliki tiga peniaga iaitu premis menjual barangan elektrik, aksesori kenderaan dan barangan aluminium.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pukul 8 pagi itu, dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Zaini berkata sebanyak 49 anggota bersama-sama sembilan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, Pengkalan Chepa, Pasir Tumboh, Tunjong, Kota Darulnaim dan Rantau Panjang, mengambil masa lebih sejam untuk mengawal dan memadam kebakaran daripada merebak ke bangunan bersebelahan.
Beliau berkata kesemua pemilik premis tersebut tidak dapat menyelamat barangan masing-masing kerana api merebak terlalu cepat berikutan bangunan separuh papan.
Sementara itu, pemilik kedai barangan aluminium, Shafinaz Wong, 33, berkata dia menyedari kebakaran itu apabila terdengar bunyi letupan ketika sedang menidurkan anaknya.
"Rumah kedai ini merupakan tempat tinggal sementara kami sekeluarga kerana rumah kami masih di dalam pembinaan," katanya.
Sumber: Bernama | 28 Mac 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan