Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 25 Mac 2016

JAKOA akan percepatkan proses mengukur sempadan tanah milik Orang Asli di pedalaman Kelantan

PASIR MAS: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan mempercepatkan proses mengukur sempadan tanah milik masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman Kelantan terutama di Lojing, Gua Musang.

Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata Jakoa akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan bagi mempercepatkan proses itu kerana tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Kementerian telah memberi arahan kepada Jakoa untuk menyegerakan kerja ukur persempadanan tanah Orang Asli dan dalam masa sama kita minta kerajaan negeri tidak menggunakan tanah di kawasan Ulu Kelantan yang melibatkan masyarakat Orang Asli," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Jias di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan mengulas desakan masyarakat Orang Asli di beberapa perkampungan di sekitar tanah tinggi Lojing yang mahukan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan segera mewartakan kawasan tanah hak milik mereka bagi mengelakkan ianya diceroboh syarikat yang mengusahakan projek pertanian di tanah tinggi itu.

Beliau berkata kementeriannya amat prihatin dengan masalah yang dihadapi masyarakat itu kerana mereka bergantung kepada hutan semulajadi sebagai punca pendapatan.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata UMNO Kelantan sentiasa menyokong kepimpinan parti dan menolak pemimpin atau bekas pemimpin yang cuba untuk menjatuhkan kepimpinan parti dan negara.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan kesemua 14 ketua UMNO Bahagian di Kelantan menandatangani Deklarasi Kelantan, dokumen rasmi menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

"Saya kesal amat sangat apabila terdapat pemimpin dan bekas pemimpin menyerang kepimpinan negara dengan melemparkan pelbagai fitnah kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi...berilah mandat kepada pemimpin yang dipilih rakyat untuk memerintah," katanya.

Sumber: Bernama | 25 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan