Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 15 Mac 2016

ECER tarik pelaburan berjumlah RM85.7 bilion sejak 2007 hingga Februari 2016

KUALA LUMPUR: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) terus menarik pelaburan dengan RM85.7 bilion dicatatkan antara 2007 dan Februari 2016, walaupun dalam kelembapan ekonomi global.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berkata tahun lepas, ECER telah menarik pelaburan sebanyak RM12.5 bilion, meneruskan trend positif dari 2013 hingga 2014, setelah mencatatkan pelaburan masing-masing sebanyak RM11.8 bilion dan RM15.7 bilion.

Pelaburan setakat ini mewakili 77.9 peratus daripada sasaran wilayah ini yang berjumlah RM110 bilion pada tahun 2020 dan dijangka mewujudkan 92,800 pekerjaan, kira-kira separuh daripada sasaran 2020 sebanyak 200,000 pekerjaan.

Pelaburan ini juga mewakili 14 kali kadar pulangan pelaburan kerajaan sebanyak RM6.0 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan(RMK-9) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), demikian menurut ECERDC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat majlis pertamanya pada tahun ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Momentum bagi transformasi pantas akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) (2016-2020) yang memperuntukkan RM1.28 bilion bagi 16 projek dan program baharu.

Antara projek utama yang akan dilaksanakan di bawah RMK-11 oleh ECERDC ialah Taman Industri Tok Bali, Pelabuhan Tok Bali di Kelantan; Kuala Terengganu City Centre (KTCC) dan kerja-kerja infrastruktur berkaitan di Terengganu; Taman Teknologi Pahang (PTP) di Gambang, Pahang, dan projek-projek untuk meningkatkan industri pelancongan di Mersing, Johor.

"Projek-projek dan program ini telah membuka wilayah dan mengurangkan jurang antara ECER bandar dan luar bandar, dari segi pendapatan isi rumah dan kualiti hidup.

"Mereka juga telah mencipta kemakmuran baru yang lestari dan inklusif. Ini penting," kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Menurut ECERDC, projek-projek strategik yang diterajui oleh kerajaan seperti Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), taman perindustrian khusus dan pengembangan Pelabuhan Kuantan telah mewujudkan satu kluster pembuatan yang baik dalam ECER.

Wilayah itu juga bersedia untuk merealisasikan matlamatnya sebagai hab logistik dan pengangkutan serantau dengan siapnya projek pengembangan Pelabuhan Kuantan pada 2017, katanya.

Sementara itu, pembuatan kekal menjadi pilihan utama dalam kalangan kelompok pelabur, dan telah menarik RM46.5 bilion (54.3 peratus daripada jumlah pelaburan) sejak 2007, diikuti oleh pelancongan (RM14.2 bilion) dan bio-ekonomi (RM7.4 bilion atau 8.6 peratus).

Sektor bio-ekonomi adalah tarikan baharu, terutama kepada peserta global dengan ketersediaan minyak, gas dan petrokimia (OGP), dan produk sampingan pertanian.

Bagi pelaburan langsung asing, China terus menjadi sumber utama, dengan hubungan pelaburan dan perdagangan dua hala melalui "Dua Taman - Dua Negara" antara MCKIP dan Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou (CMQIP).

MCKIP sahaja mempunyai RM13.5 bilion atau 15.7 peratus daripada RM85.7 bilion pelaburan di rantau ini.

Sumber: Bernama | 15 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan