KOTA BHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini menambahkan lagi anggotanya di sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang, Kelantan berikutan penurunan paras air di Sungai Golok, yang dilihat memudahkan berlakunya aktiviti jenayah rentas sempadan.
Panglima 8 Briged Infantri Brig Jen Zarondin Md Amin berkata usaha meningkatkan kawalan keselamatan di Sungai Golok di Rantau Panjang, yang menjadi sempadan kedua-dua negara itu akan turut dilaksanakan agensi-agensi lain yang berkaitan.
"Tambahan anggota di kawasan sempadan adalah perlu kerana air Sungai Golok yang semakin cetek dan memudahkan aktiviti jenayah rentas sempadan berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata 100 anggota dari 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ditugaskan di kawasan sempadan itu bagi membantu 550 anggota dari 4 Rejimen Sempadan (RS).
Selain itu beliau berkata operasi bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Angkatan Tentera Diraja Thailand akan turut dilakukan.
Akhbar hari ini melaporkan fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini menyebabkan paras air Sungai Golok di beberapa tempat di Rantau Panjang, Pasir Mas menjadi cetek dan membolehkan orang ramai menyeberang sungai berkenaan tanpa menggunakan bot.
Zarondin berkata pihaknya kini memantau setiap kampung serta laluan 'panas' yang sering digunakan penyeludup.
"Kita harap masyarakat setempat dapat memainkan peranan untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan mereka," katanya.
Sumber: Bernama | 24 Mac 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan