KUALA LUMPUR: Ringgit akan menggambarkan asas-asas sebenar pada penggal pertengahan ketika Malaysia terus mencatat lebihan akaun semasa, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Menurutnya, pengaliran masuk pelaburan langsung asing sudah berterusan melebihi 100 tahun berikutan kedudukan Malaysia yang dilihat sebagai destinasi menguntungkan untuk para pelabur.
Malah, jelas Zeti, lebihan dagangan dan pelaburan juga menyokong ringgit selain Malaysia turut memiliki paras rizab yang sihat.
"Kita mempunyai sistem kewangan yang kukuh khususnya sektor perbankan yang memaparkan semua pengaliran kewangan ini. Sepertimana Thailand, kita juga mempunyai pasaran bon yang besar," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan oleh BNM dan Bank of Thailand, di sini, Isnin.
Zeti turut menepis tanggapan negatif pihak tertentu terhadap ekonomi Malaysia berikutan kejatuhan harga minyak mentah global.
"Malaysia adalah negara pengeksport minyak dan apabila harga minyak serta komoditi jatuh, mereka menjangkakan ekonomi kita akan turut lumpuh.
"Namun mereka tidak sedar bahawa kita sudah menstruktur semula ekonomi negara," katanya.
Tegas Zeti, ekonomi Malaysia bukan lagi mengenai minyak dan gas kerana kira-kira 80 peratus ekonomi negara disumbangkan oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.
"Malaysia sudah pelbagai dan tidak terjejas teruk akibat kejatuhan harga minyak. Hasilnya, kita masih mampu menguruskan pertumbuhan antara empat hingga lima peratus.
"Pada 2015 misalnya, kita mencatat pertumbuhan sebanyak lima peratus. Oleh kerana perkara itu kurang diperakui, maka kita perlu menghebahkan bahawa kita (Malaysia) sudah pelbagai dan tidak goyah," katanya.
Mengulas dasar monetari, Zeti mengingatkan, tidak harus ada sikap terlalu bergantung kepada dasar itu semata-mata bagi mewujudkan kestabilan ekonomi.
Ini berikutan perkembangan kadar faedah yang menghampiri paras sifar.
"Sewajarnya ada penyelarasan lebih ketara dalam kalangan negara individu itu sendiri bagi melihat aspek seperti dasar fiskal dan struktur. Malah, amat penting bagi bank-bank pusat mengambil kira pertimbangan domestik bagi tujuan penetapan agenda dasar monetari," katanya.
Sumber: Bernama | 14 Mac 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan