KOTA BHARU: Lapan puluh Orang Asli dari empat kampung di Lojing, Gua Musang hari ini menyerahkan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar di Kompleks Kota Darul Naim berhubung pencerobohan terhadap tanah adat di kawasan itu.
Mereka yang mewakili kira-kira 4,000 penduduk dari Kampung Sendrod, Sigar, Kuala Tahu dan Kampung Kelaik mendakwa aktiviti pencerobohan tanah itu telah bermula sejak tahun 2000 lagi dan menyebabkan pelbagai masalah kepada masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan tersebut.
Wakil Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) Bah Muya Bah Said, 29, yang tinggal di Kampung Sigar mendakwa ratusan hektar tanah adat di Lojing telah diceroboh oleh beberapa syarikat bagi pembukaan tanah untuk aktiviti pertanian, perlombongan dan pelancongan.
"Mereka (syarikat) mengambil tanah adat dari kami tanpa mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan penduduk.
"Pencerobohan tanah itu menyebabkan tadahan air kami rosak. Kalau banjir kami mati," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Aad Syazwan Mohamad di perkarangan kompleks pentadbiran kerajaan negeri di sini.
Mengulas lanjut, Bah Muya berkata antara tuntutan yang dikemukakan kepada kerajaan Kelantan termasuklah tanah yang diluluskan sebagai tanah masyarakat Orang Asli harus dipegang oleh Orang Asli di bawah geran komunal dan bukan geran persendirian.
"Selain itu Biro Orang Asli Lojing dan JKOASM harus menubuhkan satu lembaga audit yang dianggotai wakil JKOASM dari luar Kelantan dan dari Kelantan serta wakil kerajaan negeri untuk memantau pendapatan daripada projek-projek yang dilaksanakan syarikat di kawasan terbabit.
"Kami juga menuntut segala penerokaan hutan baharu di Lojing dihentikan segera sehingga isu tanah komunal ini selesai," katanya.
Sorang penduduk Gibon Alam, 29, yang tinggal di Kampung Kelaik pula mengaitkan insiden kematian seorang lelaki di kampung itu yang dihanyut arus deras sungai pada 2014 dengan aktiviti perlombongan.
"Kejadian itu berlaku disebabkan sebuah syarikat yang melakukan aktiviti perlombongan di hulu Sungai Kelaik telah melepaskan air lombong secara tiba-tiba tanpa memberitahu penduduk yang tinggal di kawasan hilir sungai.
"Ketika kejadian mangsa sedang mandi di sungai berkenaan namun dihanyut air deras sungai yang naik secara mendadak kerana tak tahu air lombong dilepaskan secara tiba-tiba," katanya.
Sumber: Bernama | 30 Mac 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan