Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 15 Mac 2016

Polis marin tahan dua warga asing, rampas 180 kg daun ketum di Tumpat

TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menahan dua lelaki warga Thailand dan merampas daun ketum seberat 180 kilogram bernilai kira-kira RM12,800 di tapak pasar malam Kampung Bendang Pak Yong di sini, semalam.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM itu, Insp Virak Kongpet berkata lelaki berusia 19 dan 26 tahun itu ditahan dalam sebuah kereta yang sarat dengan muatan daum ketum berkenaan pada pukul 9.50 pagi.

"Selepas melihat sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan, anggota kami yang membuat rondaan di kawasan tersebut bertindak menahan kenderaan itu di tapak pasar malam Kampung Bendang Pak Yong," katanya kepada pemberita di Pejabat PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sini, Selasa.

Virak berkata siasatan mendapati kesemua daun ketum yang diperoleh dari Kedah akan diseludup ke negara jiran.

"Permintaan tinggi daun ketum di negara jiran menjadi penyumbang kepada kegiatan penyeludupan berkenaan," katanya.

Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut.

Katanya pihaknya sentiasa berusaha mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan bagi memastikan negeri ini bebas daripada kegiatan itu.

Sumber: Bernama | 15 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan