Abdullah Fahmi Che Nor. |
TANAH MERAH: Qari dari Machang, Abdullah Fahmi Che Nor dan qariah dari Jeli, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi muncul johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Ke-59 yang berlangsung di pekarangan Masjid Ismail Petra Tanah Merah, dekat sini, malam tadi.
Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM14,000 iaitu RM6,500 sumbangan kerajaan negeri, RM5,000 dari Majlis Jaksa Pendamai Kelantan dan RM2,500 sumbangan Perbadanan Bandar Baru Tunjong, piala pusingan, pakej umrah, cenderamata serta sijil.
Dengan kemenangan itu, Abdullah Fahmi, 32, dan Wan Sofea Aini, 22, akan mewakili Kelantan pada Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung di Dewan Chempaka Sari, Perbadanan Putrajaya pada 21 hingga 26 Mac ini.
Abdullah Fahmi yang merupakan bekas johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Ke-57 pada 2014, kali ini meraih tempat pertama dengan markah 84.34 peratus, manakala Wan Sofea Aini menang dengan markah 75 peratus.
Naib johan pula dimenangi qari kurang upaya penglihatan mewakili Kota Bharu, Qayyim Nizar Sharimi dengan markah 79 peratus serta qariah dari Bachok, Radziah Ibrahim yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil.
Radziah yang pernah mencipta sejarah muncul johan qariah tilawah peringkat negeri dan mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan pada 2013 iaitu selepas 22 tahun kerajaan Pas Kelantan melarang wanita menyertai tilawah di negeri ini, kali ini mendapat markah 73.67 peratus.
Qari dan qariah dari Tumpat, Mohd Nazri Daud dan Che Aminah Awang pula memenangi tempat ketiga dengan masing-masing menerima RM4,000 sumbangan kerajaan negeri, RM500 sumbangan Perbadanan Bandar Baru Tunjong, piala iringan dan sijil.
Mohd Nazri yang pernah muncul johan pada Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Ke-54 pada 2011 memperoleh markah 78.33 peratus, manakala Che Aminah yang muncul johan qariah pada tahun sama kali ini mendapat markah 73.67 peratus.
Upacara pengurniaan hadiah kepada pemenang disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub serta Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Seramai 20 peserta iaitu masing-masing 10 qari dan 10 qariah dari seluruh negeri mengambil bahagian dalam tilawah kali ini yang bermula Ahad lalu.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 4 Mac 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan