PASIR MAS: Sebanyak 30 kes membabitkan kebakaran hutan di Kelantan direkodkan sejak Januari hingga 15 Mac lepas akibat cuaca panas dan kering berikutan fenomena El-Nino.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Azmi Osman berkata berdasarkan bilangan kes yang direkodkan itu, pihaknya memberi lebih tumpuan kepada kebakaran hutan di tanah gambut yang mana proses untuk memadamkan kebakaran mengambil masa lama antara dua dan tiga hari.
"Kawasan terbabit antaranya di Beris Lalang, Bachok yang melibatkan kebakaran seluas 67 hektar dan di kawasan hutan sepanjang jalan Pasir Mas ke Rantau Panjang yang lazim berlaku kebakaran apabila tiba musim kemarau," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan jabatan itu di sini, hari ini.
Azmi berkata kebakaran di Beris Lalang itu jika tidak dipadamkan segera akan menular ke kawasan kebun getah dan sawit sekaligus menjejaskan pendapatan petani.
"Selain terdapat kawasan tanaman, di sana (Beris Lalang) juga ada kawasan chalet yang menjadi tumpuan pelancong asing, kebakaran yang berlaku itu akan menyebabkan mereka tidak selesa," katanya.
Katanya setakat ini, pihaknya telah menempatkan 30 anggota dan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dalam menyalurkan bekalan air yang mencukupi untuk kedua-dua kawasan yang mengalami kebakaran.
Sumber: Bernama | 21 Mac 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan