Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 27 Mac 2016

USM, UMK jalin kerjasama dalam pelbagai bidang bagi melahirkan graduan berkualiti

KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini bersetuju menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang bagi melahirkan dan meningkatkan kualiti graduan dari kedua-dua universiti itu.

Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata kerjasama antara kedua-dua institusi pengajian tinggi itu dibuat bagi menyahut saranan Kementerian Pendidikan Tinggi yang mahu program keserakanan dan kebersamaan antara universiti dilaksanakan.

"Pihak USM dan UMK mula melakukan perbincangan sejak awal bulan ini bagi memperhalusi cadangan yang diutarakan oleh kementerian.

"Antara tumpuan utama melibatkan kerjasama akademik, penyelidikan, pengajian siswazah, sumber manusia dan juga fasiliti seperti padang dan tenaga pengajar antara kedua-dua universiti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kolokium Keserakanan dan Kebersamaan antara USM dan UMK di Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian di sini, Ahad.

Sementara itu, Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed berkata kerjasama itu merupakan satu pendekatan baharu yang diperkenalkan kementerian bagi melahirkan graduan yang mempunyai pelbagai kemahiran.

"Sebelum ini UMK dan USM pernah bekerjasama dalam program keusahawanan dan pengurusan kesihatan bagi memperluaskan bidang pendidikan antara kedua-dua pihak.

"Pihak UMK pernah menghantar pelajar untuk menjalani sesi pembelajaran makmal di USM dan mungkin di masa hadapan, USM boleh menghantar pelajar mereka bagi mempelajari bidang keusahawanan dan kejuruteraan yang terdapat di UMK," katanya.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu juga, pelajar akan mempunyai pelbagai kemahiran dan tidak hanya tertumpu kepada jurusan yang dipelajari di universiti mereka sahaja.

Katanya kerjasama itu juga dapat membantu menjimatkan kos perbelanjaan antara kedua-dua universiti terlibat.

Sumber: Bernama | 27 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan