KOTA BHARU: Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjaya menggembleng modal bumiputera dan menyumbang kepada peningkatan pegangan ekuiti kaum itu dalam sektor korporat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mustapa yang juga anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera berkata, setakat ini pegangan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat ialah 23 peratus dan sasaran pada 2020 sebanyak 30 peratus.
"PNB adalah produk Barisan Nasional yang cukup terbilang, satu idea yang mulanya kecil dan kini menjadi gergasi dalam dunia perniagaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Kota Bharu di Jalan Kebun Sultan, di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Mustapa berkata, PNB membuat pelaburan dalam pelbagai sektor dalam dan luar negara seperti pembuatan, perbankan dan hartanah dan secara tidak langsung membantu meningkatkan pelaburan dalam negara.
"Ini semua berlaku kerana adanya dasar kerajaan yang baik, kepemimpinan yang baik, keamanan dan kestabilan politik," katanya.
Sementara itu, Hamad Kama Piah ketika berucap pada majlis itu berkata, setakat ini terdapat 12.6 juta akaun unit amanah ASNB dengan unit dalam edaran lebih 200 bilion.
Mengenai pembukaan pejabat baharu ASNB tersebut, beliau berharap lebih ramai penduduk Kelantan melabur dalam unit saham amanah anjuran ASNB.
Bangunan pejabat dua tingkat itu menyediakan ruang pejabat dan kaunter urus niaga yang lebih selesa bagi menampung pertambahan pelabur dan melancarkan lagi urus niaga tunai dan bukan tunai.
ASNB kini mempunyai 30 cawangan di seluruh negara.
Sumber: Bernama | 12 Mac 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan