Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 30 Mac 2016

Lapan pemancing, tiga kru bot yang hilang ditemukan selamat

PASIR PUTEH: Lapan pemancing bersama dua awak-awak dan seorang tekong bot yang dilaporkan hilang di Laut China Selatan sejak Sabtu lepas, dijumpai selamat malam tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 10 Tok Bali, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata mereka dijumpai di lokasi 41 batu nautika dari Pantai Tok Bali oleh bot maritim Penyelamat 7 pada pukul 10.40 malam tadi.

"Lapan pemancing tersebut dibawa pulang dan tiba di Tok Bali pada pukul 1.30 pagi tadi manakala tiga kru bot berkenaan masih menunggu di bot sementara menanti bot mereka ditunda ke pelabuhan Tok Bali," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Lapan pemancing tersebut ialah Muhamad Zaidi, 30, Mohd Shariful Aidi Zakaria, 31, Mohd Faizal Abd Rahman, 31, Suhaimi Mat Jusoh, 33, Mohd Sulaiman Abdul Kadir@Ghazali, 34, Mohd Zaidi Yaacob, 42, Nik Mohd Shukri Nik Mustapa, 49, dan Zakaria Kadir, 54. Indentiti tiga kru bot belum diketahui.

Kumpulan pemancing tersebut merupakan penjawat awam termasuk guru dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tinggal di Kota Baharu, Pengkalan Chepa dan Bachok, pergi memancing di kawasan berhampiran pelantar minyak Lawit, kira-kira 64 batu nautika dari Pantai Kemasin, Bachok, pada Sabtu dan sepatutnya pulang keesokannya (Ahad).

Ismail berkata bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin ketika dalam perjalanan pulang daripada mengail di kawasan pelantar minyak tersebut dan terputus hubungan pada Sabtu lepas.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat mereka membabitkan kapal KM Amanah, bot Penggalang 18 dan bot Penyelamat 7, sebaik menerima laporan daripada anggota keluarga mangsa pada Ahad.

Beliau berkata gerakan mengesan mereka mengalami kesukaran kerana laut bergelora dengan ombak setinggi antara 2.5 dan 3.5 meter serta angin kencang antara 60 dan 80 kilometer sejam.

"Mereka dapat dihubungi semula melalui panggilan alat komunikasi radio pada pukul 6.50 petang semalam iaitu tidak jauh dari pelantar minyak Lawit," katanya.

Katanya, kesemua pemancing tersebut dihantar ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh di sini untuk pemeriksaan sebagai pesakit luar dan dibenar pulang ke rumah masing-masing pagi tadi.

Beliau berkata ini merupakan tragedi kedua selepas tiga nelayan hilang selama dua hari pada akhir bulan lepas sebelum ditemukan selamat selepas bot yang mereka naiki rosak dan hanyut sejauh lapan batu nautika ke perairan Selatan Thailand.

Sumber: Bernama | 30 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan