Pencakar besar yang akan digunakan bagi membersihkan kawasan pantai berkenaan. |
TUMPAT: Majlis Daerah Tumpat (MDT) akan menggunakan alat pencakar bagi membersihkan sampah sarap di persekitaran Pantai Sri Tujoh yang tercemar akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung membuang sampah di merata-rata tempat.
Yang Dipertuanya, Rosnazli Amin berkata, lokasi yang dikatakan tercemar itu adalah di luar kawasan kebersihan pihak kontraktor MDT kerana kawasan itu merupakan tanah milik persendirian.
Bagaimanapun katanya, pihak MDT akan melakukan pembersihan secara berkala demi keselesaan pengunjung Pantai Sri Tujoh ini.
“Pada waktu ini MDT dalam usaha menyiapkan alat pencakar besar yang akan ditarik oleh traktor bagi membersihkan sampah sarap berkenaan. Dengan penggunaan alat berkenaan ianya akan memudah dan mempercepatkan kerja-kerja pembersihan sampah seperti beg plastik, botol air mineral, polisterin makanan serta kertas akhbar,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pengunjung Pantai Sri Tujuh yang membuang sampah di merata-rata tempat mengundang pencemaran alam sekitar.
Rosnazli berkata, MDT telah banyak melakukan kempen kesedaran kepada para pengunjung pantai berkenaan dalam aspek menjaga kebersihan dan kelakuan, terutamanya golongan remaja.
Menurutnya, jika langkah ini masih gagal membendung kegiatan tidak beretika pengunjung ke kawasan tanah milik persendirian itu yang membuang sampah merata-rata, MDT tidak akan teragak-agak untuk memutuskan laluan masuk ke tanah persendirian berkenaan.
“Ini kerana ia boleh memberikan imej buruk kepada MDT, seolah-olah gagal melaksanakan menjaga kebersihan di pantai berkenaan. Tambahan pula adalah menjadi kesalahan menceroboh tanah persendirian tersebut oleh mana-mana orang,” katanya.
Menurutnya, MDT juga sangat memerlukan kerjasama daripada para pengunjung pantai agar dapat bersama-sama menjadikan pantai yang indah dan menarik sebagai kepunyaan bersama, bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan pantai.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 5 Mac 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan