Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 23 Mac 2016

Bukan konspirasi politik – Khairy

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (gambar) menegaskan beliau tidak akan berselindung dengan memberi alasan bahawa penahanan seorang pegawai kanan kementeriannya yang disyaki menyeleweng dana mencecah RM100 juta sebagai konspirasi politik.

Tegasnya, rasuah adalah jenayah maka siasatan secara menyeluruh serta telus perlu dilakukan terhadap kes berkenaan.

“Ini melibatkan jumlah dana yang besar dan akan mengundang kemarahan rakyat. Mereka berhak untuk marah dan saya amat kecewa.

“Rasuah tetap rasuah. Saya tidak boleh kata atau beri alasan bahawa ini adalah konspirasi politik untuk jatuhkan saya, kalau rasuah itu berlaku kita kena ambil tindakan, saya tidak akan berselindung di belakang alasan, salah tetap salah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Pada 18 Mac lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang setiausaha bahagian di sebuah kementerian dan lapan orang yang merupakan kontraktor kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Sehubungan itu juga, satu pasukan siasatan bebas akan ditubuhkan bagi mengenal pasti kelompangan dalam prosedur perolehan kementerian itu selain menambah baik proses tatacara kewangan dalaman.

Mengulas lanjut berhubung perkembangan kes tersebut, Khairy memberitahu, perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan akan dibentangkan ke Kabinet Jumaat ini.

“Perdana Menteri juga telah mengarahkan supaya perkara ini diperbetulkan. Selaku menteri yang bertanggungjawab hari ini saya menjawab apa yang berlaku untuk kes yang berada di hadapan saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairy memberitahu, beliau bersetuju terhadap cadangan mengehadkan tempoh perjawatan pegawai di kementerian terutamanya yang melibatkan bahagian sensitif seperti kewangan dan perolehan.

“Mereka mesti dihadkan tempoh perkhidmatan di bahagian tersebut. Mesti ada pertukaran yang dibuat secara kerap,” katanya yang turut memaklumkan bahawa pegawai terbabit telah memulakan khidmat di kementerian itu sejak 1998.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 23 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan