Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 30 Mac 2016

Profesor Rusia kuasai tulisan Jawi


Profesor Dr Tatiana A. Denisova
KUANTAN: Meskipun dilahirkan di Moscow, Rusia, Profesor Dr Tatiana A. Denisova menguasai tulisan Jawi sehinggakan boleh membaca hikayat dan karya persuratan Melayu lama yang dihasilkan mengguna tulis itu.

Denosova, 57, berkata minat mempelajari tulisan Jawi bermula semasa beliau menuntut di Saint Petersburg State University di Rusia dalam jurusan berkaitan sejarah Islam memandangkan banyak rujukan ditulis dalam tulisan Jawi.

"Jurusan pilihan saya juga menetapkan tulisan Jawi sebagai wajib lulus walaupun pada permulaan jurusan, kami menggunakan tulisan rumi dan secara perlahan-lahan diperkenalkan kepada tulisan Jawi apabila meningkat kelas," katanya.

Denisova, yang turut fasih bertutur Bahasa Melayu, ditemui pada penutup Seminar Antarabangsa Tulisan Jawi bertemakan 'Tulisan Jawi Pemangkin Kegemilangan Peradaban Ummah' di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di sini, hari ini.

Majlis penutup seminar dua hari itu disempurnakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Denisova berkata penguasaan tulisan Jawi beliau adalah lebih baik berbanding kemahiran bertutur Bahasa Melayu, yang hanya dipelajari apabila bercampur dengan rakan kuliah yang berasal dari Indonesia.

"Malah, semasa saya tiba di Malaysia pada 2003, saya lebih pandai dalam tulisan Jawi kerana saya banyak membaca penulisan lama Melayu dan hikayat lama," katanya.

Ketika itu, beliau terlibat dengan projek di bawah kendalian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selepas tiga tahun bersama DBP, Denisova terus menetap di Malaysia dengan berkhidmat di Perpusatakaan Negara selain pernah bertugas di Universiti Malaya dan kini merupakan pensyarah jemputan Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban di Universiti Teknologi Malaysia.

Mengimbas semula minatnya dalam bidang sejarah Melayu dan Islam sehingga membolehkannya menerbitkan 50 penulisan dalam bidang berkaitan, Denisova berkata semuanya bermula secara kebetulan.

"Saya terjumpa sebuah majalah kecil mengenai sejarah dan kebudayaan Melayu Islam yang diterjemah ke Bahasa Rusia. Saya dapati perkara itu sangat menarik untuk dipelajari kerana waktu itu saya tidak berminat dengan bidang lain seperti ekonomi.

"Selesai membaca majalah itu, saya terus tetapkan fikiran bahawa itu adalah bidang yang ingin saya pelajari dengan lebih lanjut di universiti pada usia 17 hingga 22 tahun," katanya.

Selain itu, Denisova berkata kemahiran menguasai tulisan Jawi perlu dihidupkan kembali dalam kalangan generasi muda supaya mereka dapat menguasai ilmu sejarah, linguistik dan persuratan Melayu yang ditulis menggunakan tulisan itu.

Beliau juga menyifatkan Orang Melayu sebagai 'bertuah' kerana mendapat pendidikan tulisan Jawi, yang sangat hampir dengan bahasa Arab dan merupakan bahasa Al-Quran.

Sumber: Bernama | 30 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan