KOTA BHARU: Jenazah anggota tentera yang maut dalam kejadian trak terbalik di Jalan Ranau-Telupid, Ranau, Sabah, semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tasek Padang Raja, Melor di sini, hari ini.
Jenazah Prebet Shahril Afizat Mohamad, 22, dikebumikan bersebelahan kubur datuknya pada pukul 5.40 petang.
Jenazah Allahyarham tiba dengan pesawat Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini pada 3.55 petang dan terus dibawa ke Masjid Mahligai, Melor untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan itu.
Panglima Briged Kelapan Infantri, Brig Jen Zarondin Md Amin bersama kira-kira 200 anggota turut menziarahi jenazah arwah.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, Allahyarham Shahril Afizat dan Prebet Mohd Zaim Salhudin, 20, dari Selangor, maut manakala lima lagi anggota tentera cedera parah apabila trak yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di jalan tersebut.
Ketika ditemui pemberita, bapa Allahyarham, Mohamad Mohd Min, 62, berkata dua hari sebelum kemalangan, anaknya itu ada menelefon dan berbual dengan ibunya, Saria Rahimsa, 49.
"Selain bertanya khabar, anak saya (Shahril Afizat) ada memohon maaf kepada semua anggota keluarganya kerana dia tidak dapat pulang ke kampung," katanya.
Beliau berkata kali terakhir anak ketiga daripada lima beradik itu pulang ke kampung adalah pada hujung Januari lepas.
Sumber: Bernama | 14 Mac 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan