PANASKAN minyak. Masukkan udang dan masak dengan api yang kuat. Bila udang sudah agak masak, masukkan kuey teow dan bahan-bahan lain seperti tauge, kucai serta kerang. Kemudian, masukkan kicap serta telur ayam. Gaul kesemuanya hingga sebati dan angkat masakan anda sebelum telur terlalu keras atau kicap menjadi kering.
Nah, itu resipi char kuey teow. Mudah dan ringkas. Proses menyediakan hidangan kegemaran ramai ini cuma mengambil masa tidak sampai lima minit.
Bagaimanapun, jangan terkejut jika rasa char kuey teow yang anda sediakan itu tidak sama dengan hidangan yang dibeli di gerai. Malah, jika tidak kena gaya, mungkin anda tidak mampu menghabiskannya walaupun sepinggan.
“Secara asasnya, bahan-bahan untuk memasak char kuey teow adalah sama. Namun, kemahiran air tangan tukang masak menentukan sama ada char kuey teow itu menjadi atau tidak,” ujar Rizal Hussin, pemilik Restoran Char Kuey Teow Rizal.
Bercerita lanjut, Rizal, 36, memberitahu, antara elemen penting dalam menyediakan sepinggan char kuey teow yang lazat ialah kemahiran mengadun bahan asas tepat pada masa mengikut sukatan tertentu.
“Bahan mentah seperti udang dan kerang mesti segar. Menggunakan udang dan kerang lama adalah pantang bagi saya kerana ia akan menjejaskan rasa masakan. Bekalan ini saya peroleh terus dari Penarik, Terengganu pada setiap hari.
“Selain itu, saya juga menggunakan kicap istimewa yang saya buat sendiri bagi memastikan rasa yang unik dan tidak ada di tempat lain,” katanya.
Basah berkilau dan panas berasap. Udang dan kerang segar menggiurkan. Rasa manis, masin, masam dan berlemak yang diadun sempurna, selain rasa pedas sederhana jika ditambah cili jeruk. Itulah ciri-ciri ‘bintang’ utama restoran, iaitu char kuey teow dan tidak keterlaluan jika dikatakan, Char Kuey Teow Rizal yang terletak di Jalan Long Yunus, Kota Bharu, Kelantan kini menjadi satu fenomena baharu di bandar raya itu.
“Saya mula berniaga char kuey teow secara kecil-kecilan di beberapa lokasi di sekitar Kota Bharu sejak 2012. Pada 2013, saya nekad membuka restoran ini.
“Alhamdulillah, perniagaan saya semakin berkembang pesat dan jika tiada halangan, kami akan membuka cawangan pertama di Pasir Mas sedikit masa lagi,” katanya.
Di Char Kuey Teow Rizal, pelanggan boleh memilih sama ada mahu menikmati char kuey teow biasa, special atau double. Harga setiap hidangan pula antara RM5 hingga RM11.50 sepinggan.
Dibuka setiap hari kecuali Sabtu bermula pukul 5 petang hingga 2 pagi, turut menjadi tarikan utama di Char Kuey Teow Rizal ialah jus buah-buahan segar seperti oren, epal dan lobak merah yang rasanya cukup ‘kaw’.
“Selepas menjamu selera dengan char kuey teow, air buah merupakan pasangan paling sepadan untuk membasahkan tekak. Oleh sebab itu, kami menawarkan jus buah yang segar dan ‘kaw’ untuk dinikmati pelanggan.
“Jika anda cuba dua menu ini di Char Kuey Teow Rizal, insya-Allah anda pasti datang lagi,” kata anak jati Baling, Kedah itu.
Sumber: Utusan Malaysia | Pelancongan | 13 Feb. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan