KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM97 juta bagi membina 384 unit kediaman untuk keluarga tentera di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di sini.
Panglima Briged Kelapan Infantri, Brig Jen Zarondin Md Amin berkata pembinaan kediama berkenaan dijangka siap pada Oktober tahun depan, membabitkan lapan blok bangunan empat tingkat dengan setiap bangunan mempunyai 48 unit.
"Kediaman itu dilengkapi tiga bilik tidur, ruang tamu dan dapur dibina bagi anggota berpangkat koperal ke bawah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Darat ke-83 di Padang Kawad Batalion Ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di sini, hari ini.
Zarondin berkata kediaman itu dibina dalam kawasan kem bagi menjaga kebajikan anggota keluarga berikutan terdapat anggota yang sering bertugas dan melakukan operasi di luar antara dua hingga tiga bulan.
Beliau berkata kawasan kem itu juga akan dilengkapi kemudahan lain seperti gelanggang sukan dan dewan serbaguna untuk kegunaan anggota dari 12 pasukan di kem itu.
"Selain itu, pihak kami juga sedang mengenal pasti 1,600 anggota tentera yang bertugas di Kelantan yang layak mendapat penambahbaikan tangga gaji ke Band 5 tahun ini," katanya.
Pada Perbarisan itu, Zarondin turut menyempurnakan kenaikan pangkat kepada 25 anggota tentera yang bertugas di kem berkenaan.
Sumber: Bernama | 1 Mac 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan