Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 8 Mac 2016

Lebih 700 rumah kekal baharu telah siap untuk mangsa banjir di Kelantan

KOTA BHARU: Sebanyak 753 rumah kekal baharu siap dibina untuk penduduk yang kehilangan rumah akibat bencana banjir pada akhir 2014, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Ab Fattah Mahmood berkata jumlah rumah berkenaan adalah daripada 1,671 rumah kekal baharu yang perlu dibina untuk mangsa banjir di negeri ini.

Kerajaan negeri dipertanggungjawabkan untuk membina 635 buah rumah manakala kerajaan persekutuan sebanyak 1,036 rumah, katanya ketika menjawab soalan Mohamad Awang (PAS-Gual Periok) pada persidangan DUN di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Ab Fattah berkata daripada rumah yang telah siap itu, kerajaan negeri menyiapkan 497 rumah manakala kerajaan persekutuan 256 rumah.

Beliau berkata pembinaan rumah di bawah kerajaan negeri dilaksanakan melalui dana yang disumbangkan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Perbadanan Kemajuan Ikhtisad Negeri Kelantan (PKINK), Lembaga Zakat Selangor, Kerajaan Negeri Selangor dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya selain membina rumah kekal baharu, Kerajaan Persekutuan juga bertanggungjawab menyediakan kemudahan infrastruktur di tapak pembinaan rumah kekal baharu itu termasuk yang dilaksanakan di bawah kerajaan negeri.

Beliau berkata bagi rumah yang belum siap, ia kini dalam tindakan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan agar mangsa terbabit dapat segera menduduki kediaman yang selesa.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri sedang mengambil beberapa langkah proaktif bagi memperkukuhkan kewangannya berikutan kejatuhan ringgit dan kelembapan ekonomi.

Beliau berkata dalam meneruskan amalan jimat cermat dalam perbelanjaan, terdapat 11 perkara yang terkandung dalam garis panduan perbelanjaan seperti penjimatan kos utiliti.

"Kerajaan negeri juga akan meneliti garis panduan langkah-langkah mengoptimumkan perbelanjaan oleh Kerajaan Persekutuan, untuk diguna pakai" katanya ketika menjawab soalan Mohamad Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran).

Ahmad berkata kerajaan negeri juga sedang mencari sumber hasil baharu bagi menambah sumber kewangan negeri termasuk melalui sektor mineral dan perhutanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Negeri Datuk Hanifa Ahmad pula berkata kerajaan negeri memohon bantuan Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan RM20 juta bagi menangani hakisan di Pantai Kundor di sini dalam Rancangan Malaysia Kesebelas.

Bagi tindakan jangka pendek, kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan RM1 juta untuk membina benteng sepanjang 300 meter bagi mencegah hakisan di pantai itu di samping membina lapan rumah baharu kepada penduduk yang terjejas teruk akibat hakisan dan ombak besar awal Januari lepas, katanya ketika menjawab soalan Wan Ubaidah Omar (PAS-Kijang).

Sumber: Bernama | 8 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan