Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 11 Mac 2016

JKKN peruntuk RM300,000 perkasa seni budaya di Kelantan

Che Kassim (dua, kiri) dan Mohd Aidil Afizie (tiga, kiri) menyampaikan pakaian kebudayaan kepada peserta, semalam.
KOTA BHARU: Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Kelantan memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk menjalankan 65 program jabatan tahun ini.

Pengarahnya, Che Kassim Mahmud berkata, sebanyak 65 aktiviti dirancang dan dilaksanakan bagi menyemarakkan seni budaya warisan bangsa yang terdapat di negeri ini.

“Pelbagai aktiviti akan dipertontonkan dan dipersembahkan kepada masyarakat seperti tradisi berkhatam al-Quran, permainan gasing dan tarian tradisional.

“Wayang kulit, dikir barat dan silat juga adalah antara persembahan kebudayaan yang masih wujud perlu diketengahkan kepada generasi baharu, juga ia menjadi daya tarikan kepada pelancong yang berkunjung ke negeri Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis JKKN Kelantan Highlight 2016 di JKKN Kelantan.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Kelantan, Mohd Aidil Afizie, Pegawai Tourism Malaysia Kelantan, Muhamad Faiz Ismail, wakil Arkib Negara, Abdul Jabar Mohamad Ridi dan wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan.

Che Kassim berkata, program itu turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Kelantan, Arkib Negara, Tourism Malaysia serta Persatuan Seni Budaya.

Beliau berkata, menerusi aktiviti yang dijalankan, pihaknya komited membantu penggiat kesenian dan kebudayaan untuk mengembangkan seni yang menjadi kebanggaan semua pihak di negeri ini.

“Di Kelantan, kita mempunyai sebanyak 60,000 penggiat seni dan program sebegini pasti memberi impak yang baik kepada mereka, di samping usaha memperkasakan bidang kesenian budaya supaya ia tidak disia-siakan untuk dijadikan aset tarikan pelancong domestik dan luar negara.

“Sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2016, kami turut memberi fokus terhadap dikir barat dan Siri Jelajah Mak Yong ke Pantai Timur dan Utara," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 11 Mac 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan