Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 30 September 2016

64 keluarga mangsa banjir 2014 terima rumah kekal baharu

KUALA KRAI: Sebanyak 64 keluarga mangsa banjir 2014 di negeri ini menarik nafas lega setelah menerima kunci Rumah Kekal Baharu (RKB) daipada Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub hari ini.

Ahmad Jazlan berkata kerajaan Persekutuan sudah menyiapkan sebanyak 1,055 buah RKB untuk mangsa-mangsa banjir itu manakala baki RKB yang belum siap ialah 15 buah bagi mangsa yang mempunyai geran hak milik tanah (tapak).

Lapan puluh RKB secara berkelompok dan kesemua rumah dijangka siap pertengahan Februari tahun depan, katanya selepas majlis penyerahan kunci 64 buah RKB kepada mangsa banjir di Rancangan Perumahan Berkelompok Fasa 2, Kampung Telekong di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Banjir (NADMA) Sektor Pasca Banjir, Datuk Muhamad Yusoff Wazir dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman.

Ahmad Jazlan berkata apa yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatannya ke kawasan terbabit dahulu sudah dilaksanakan dan kini hanya tinggal beberapa fasa akhir sahaja belum siap sepenuhnya.

Sumber: Bernama | 29 Sept. 2016

Khamis, 29 September 2016

UM nafi beri PhD kepada Azizan Osman

Azizan Osman
PETALING JAYA: Penceramah motivasi popular, Azizan Osman tidak pernah dianugerahkan ijazah doktor kehormat daripada Universiti Malaya (UM), kata universiti itu.

"Pihak universiti dengan ini menegaskan bahawa kami tidak pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Encik Azizan Osman.

"Semoga penjelasan ini dapat menjawab kekeliruan yang timbul dikalangan masyarakat berkaitan dakwaan tersebut," kata UM menerusi kenyataan pada Khamis.

Netizen sebelum ini mempersoalkan mengenai kelayakan akademik Azizan apabila beliau sendiri mendakwa telah dianugerahkan gelaran doktor kehormat oleh UM di atas "kerja keras, dedikasi, sumbangan dalam pembangunan usahawan di Malaysia, terutamanya bumiputera".

Laman web Azizan (azizanosman.com) merujuk beliau sebagai "Dr Azizan Osman" kerana mempunyai PhD dalam bidang pengurusan dari sebuah universiti tempatan.

Sementara itu, laman web firmanya - Richworks Group of Companies menyatakan bahawa beliau adalah pemegang PhD Kehormat dalam bidang keusahawanan daripada UM.

The Star cuba untuk menghubungi Azizan untuk penjelasan.

Sumber: mStar Online | 29 Sept. 2016

Tujuh menara telekomunikasi akan dibina di Parlimen Rantau Panjang

PASIR MAS: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan membina tujuh menara telekomunikasi baharu dengan capaian jalur lebar 3G bernilai RM10.5 juta di Parlimen Rantau Panjang tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata setiap satu menara telekomunikasi tersebut bernilai RM1.5 juta, akan memberi manfaat kepada ribuan pengguna di kawasan berkenaan.

"Ia selaras dengan matlamat kementerian iaitu 95 peratus penembusan jalur lebar dan 55 peratus jalur lebar berkelajuan tinggi di seluruh negara menjelang 2020.

"Pembinaan tujuh menara telekomunikasi tersebut akan dimulakan secepat mungkin dan dijangka siap pada hujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Batu Karang di sini, Khamis.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang yang juga Anggota Dewan Negara Senator Datuk Abdullah Mat Yassin, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan Datuk Mohd Sabri Abdullah dan Pengarah Penyiaran Kelantan Mohd Rosli Mohd Salleh.

Dalam pada itu, Salleh berkata beliau turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengkaji prasarana berkaitan jalur lebar di negeri ini bagi menggalakkan rakyat menyertai ekonomi digital yang sedang berkembang ketika ini.

"Kita menekankan tiga prinsip utama dalam capaian jalur lebar di negara ini iaitu liputan, kelajuan dan mampu dimiliki.

"Ini penting untuk dilaksanakan kerana kementerian sendiri turut mewujudkan program e-Rezeki dan e-Usahawan bagi membantu rakyat menjalankan perniagaan dalam talian," katanya.

Pada program itu, Salleh turut meluangkan masa menyampaikan sumbangan 'touch point' kepada lima keluarga kurang berkemampuan di kampung tersebut.

Sumber: Bernama | 29 Sept. 2016

7,000 hektar hutan simpan kekal, diteroka secara haram di Kelantan sejak 1980

KOTA BHARU: Sejumlah 7,248 hektar daripada lebih 600,000 hektar Hutan Simpan Kekal diteroka secara haram di seluruh Kelantan sejak 1980-an, kata Pengarah Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim.

Katanya kawasan itu diteroka peneroka tegar yang telah mengusahakan tanaman pertanian dan peneroka baharu yang cuba meneruskan penerokaan haram itu.

Kawasan itu ditanam pelbagai spesies tanaman termasuk kelapa sawit manakala ada yang dibangunkan sebagai kawasan perkampungan.

"Jawatankuasa Penguatkuasaan Tanah Hutan Simpan Kekal di bawah Akta Perhutanan Negara telah ditubuhkan bagi mengatasi masalah itu," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim, lewat petang semalam.

Beliau berkata untuk mengatasi masalah itu syarikat-syarikat yang berminat digalakkan menghutankan semula kawasan yang diteroka haram itu dengan pokok hutan bersesuaian.

Zahari berkata bagi tujuan itu kerajaan negeri sudah meluluskan lesen kepada dua syarikat sahaja iaitu Gunung Basor Enterprise dan Kundor Tegoh Solution Sdn Bhd membabitkan kawasan seluas 100 hektar.

"Bagi penerokaan tanah baharu secara haram, kami akan terus membasminya dengan memusnahkan tanaman yang ditanam sepertimana tindakan yang dijalankan ke atas ladang kelapa sawit di kawasan seluas empat hektar di Gunung Rabung, Kuala Krai, baru-baru ini," katanya.

Zahari berkata dalam operasi itu pihaknya bertindak meroboh pagar dan membuat parit halangan agar tidak boleh dimasuki kenderaan peneroka haram mengikut Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984.

Beliau turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa kelulusan projek pembangunan di kawasan teroka haram dalam kawasan Hutan Simpan Kekal seluas 1,697, hektar adalah tidak tepat dan penanaman durian kunyit di kawasan berkenaan merupakan projek perintis sebelum ia dilaksanakan lebih meluas.

Mengenai dakwaan yang mengatakan terdapat kelulusan Projek Pembangunan Kawasan Teroka Haram dengan tanaman spesies pokok durian kunyit di Hutan Simpan Sungai Brok, Zahari berkata, "hasil semakan mendapati dakwaan itu tidak tepat dan tidak berasas berikutan pelan kawasan yang dinyatakan adalah Hutan Simpan Ulu Galas.'

Zahari berkata semakan juga mendapati tiada sebarang arahan kepada Pejabat Hutan Jajahan Gua Musang dan Pejabat Renjer Hutan untuk melaksanakan semakan dan bancian dalam kawasan yang dimaksudkan.

Katanya, "Jabatan Perhutanan Kelantan mendapati dakwaan yang dikemukakan pihak tersebut mempunyai fakta-fakta yang mengelirukan dan tidak memahami proses kelulusan serta perlesenan pentadbiran perhutanan negeri."

Sumber: Bernama | 29 Sept. 2016

Rabu, 28 September 2016

Kerajaan Persekutuan peruntuk RM594 juta bangunkan inftastruktur Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM594 juta bagi pembangunan tiga infrastruktur di Kelantan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustapha berkata projek berkenaan adalah pembinaan hospital pakar di Kuala Krai, pembesaran Jambatan Pasir Mas - Salor, dan pembinaan persimpangan bertingkat di atas landasan kereta api di pusat bandar Tanah Merah.

"Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM300 juta bagi pembinaan sebuah hospital pakar di Kuala Krai yang menempatkan 268 katil yang dijangka siap pada 2018.

"Hospital tersebut kini 56 peratus siap dan akan menjadi antara hospital tercanggih di Kelantan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis penyerahan peruntukan Hari Sukan Negara yang turut dihadiri pengarah Jabatan Belia dan Sukan Kelantan Mohd Salleh Ramli.

Makhtar berkata RM114 juta pula adalah untuk pembesaran Jambatan Pasir Mas - Salor daripada dua kepada empat lorong.

Projek berkenaan 46 peratus siap dan lorong baharu itu dijangka dapat digunakan pada pertengahan 2018.

"Bagi pembinaan persimpangan bertingkat di atas landasan keretapi di pusat bandar Tanah Merah sepanjang 1 kilometer, kerajaan memperuntukkan RM180 juta bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

"Kontraktor memasuki tapak projek pertengahan Ogos lepas dan berkemungkinan akan memulakan pembinaan akhir tahun ini," katanya.

Pada majlis berkenaan, 459 Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan menerima peruntukan RM500 bagi melaksanakan aktiviti sukan berskala mini di kawasan masing-masing sempena Hari Sukan Negara yang akan diadakan secara serentak di seluruh negara pada 8 Okt depan.

Mengenai Hari Sukan Negara, Makhtar berkata jabatannya menyasarkan kira-kira 500,000 peserta dari seluruh Kelantan.

Beliau berkata program yang akan diadakan di Institut Pendidikan Guru Pengkalan Chepa itu akan dilancarkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sumber: Bernama | 28 Sept. 2016

Walkathon Diraja Kelantan diadakan waktu malam

KOTA BHARU: Acara Walkathon Diraja Kelantan 2016 pada 28 Oktober ini yang masuk tahun kelima, buat julung kali dianjurkan pada waktu malam.

Acara bertemakan 'Let's Go With Me' itu sentiasa mendapat sambutan rakyat negeri ini yang tidak mahu melepaskan peluang bersama-sama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, pada sidang media di sini hari ini, berkata terdapat kelainan kali ini kerana program berkenaan akan diadakan pada jam 9.30 malam.

"Kelainan itu bagi memperlihatkan keindahan bandar Kota Bharu pada waktu malam dengan limpahan dari pencahayaan.

Ia juga sebahagian daripada acara sempena Tahun Melawat Kelantan 2016 dan kami ingin buat sedikit kelainan," katanya.

Acara jalan kaki itu membabitkan laluan sejauh tujuh kilometer bermula dan berakhir di Stadium Sultan Muhammad ke-IV ke Jambatan Sultan Yahya Petra.

Di setiap 'check point', akan dianjurkan persembahan kebudayaan dan bunga api. Tengku Abdul Halim berkata, seramai 15,000 peserta disasarkan untuk program itu dengan pendaftaran akan dibuka 24 hingga 27 Oktober ini.

"Pendaftaran boleh dibuat di Jalan Seri Cemerlang dengan bayaran dikenakan hanya RM20. Peserta akan diberikan sehelai baju T dan gelang tangan bercahaya untuk dipakai.

Kami juga akan menyediakan beg cenderahati serta pingat kepada 1,000 peserta paling awal tiba," katanya.

Sumber
: Berita Harian | Wilayah Timur | 28 Sept. 2016

Qari Malaysia juara tilawah al-Quran di Moscow

Abdullah Fahmi Che Nor
SEPANG: Malaysia mencipta sejarah apabila buat pertama kali menjuarai Tilawah al-Quran Antarabangsa Moscow Ke-17 dalam pertandingan yang diadakan di ibu negara Rusia itu pada 22 hingga 25 September lalu.

Abdullah Fahmi Che Nor, 32, dari Kelantan yang pertama kali menyertai tilawah itu tidak menyangka meraih kemenangan tersebut memandangkan turut berdepan peserta yang hebat da­ri beberapa buah negara seperti Yemen, Bahrain, Turki dan Tanzania.

“Saya terkejut dengan kemenangan ini. Apatah lagi peserta dari beberapa negara lain turut memperdengarkan bacaan yang sangat cantik termasuk tajwid dan hukum-hukum tajwid.

“Sepanjang di sana, saya dapat banyak pengalaman, dapat bertemu dengan hampir 30 peserta dari pelbagai negara. Saya amat bersyukur,” katanya ketika ditemui sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Rusia di sini hari ini.

Ketibaannya disambut oleh Penolong Pengarah Bahagian Perhubungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd. As’ari Abdan; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perhubungan Jakim, Ahmad Zaki Md. Nor serta Pegawai Seksyen Komunikasi Korporat Jakim, Mohd. Nadzri Mustakim dan Noor Syarizal Md. Numar.

Pertandingan berprestij anju­ran Majlis Mufti Rusia itu mempertandingkan dua kategori iaitu kategori tilawah dan kategori hafazan al-Quran dengan disertai 30 buah negara.

Abdullah Fahmi yang pernah menduduki tempat kelima dalam majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan sebelum ini, membawa pulang AS$5,000 (RM20,500) berserta plak dan sijil penyertaan.

Pada kategori tilawah al-Quran itu, tempat kedua dime­na­ngi Yusuf Abdullah dari Ye­­men dan Solah Ali Umar (Bahrain) di tempat ketiga.

Abdullah Fahmi seterusnya merakamkan penghargaan kepada Jakim yang telah memilihnya untuk mewakili negara dan segala sokongan yang diberikan kepadanya untuk menyertai tila­wah itu.

Sumber
: Utusan Malaysia | Nasional | 27 Sept. 2016 | Terbitan 28 Sept. 2016

Selasa, 27 September 2016

80 penternak ikan berdepan risiko gulung tikar

PASIR PUTEH: Lapan puluh penternak ikan air payau dalam sangkar di sebuah lagun di Tok Bali di sini, berdepan risiko 'gulung tikar' selepas kawasan penternakan mereka sejak lebih 10 tahun lepas didakwa menjadi sebahagian daripada sebuah resort yang beroperasi di tempat tersebut.

Pengerusi Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh Zawawi Othman berkata perkara itu disedari selepas usaha pihaknya untuk menggali semula kuala lama yang tertimbus bagi mengalirkan air keluar ke laut dihalang oleh pengurusan resort tersebut dan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh.

Zawawi berkata arahan itu mengejutkan kerana pihaknya menganggap kawasan lagun berkenaan adalah hak milik Agensi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin-Semerak (IADA) yang membenarkan mereka menternak ikan di kawasan itu.

"Pihak terbabit mendakwa kawasan itu termasuk lagun yang terletak kira-kira 300 hingga 400 meter dari resort itu adalah sebahagian daripada milik resort terbabit yang jumlahnya lebih 400 hektar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara penutupan kayuhan amal Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Pasir Puteh di sini, hari ini.

Sebanyak 156 peserta mengambil bahagian pada acara kayuhan sejauh 28 kilometer bermula dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh-Tok Bali-Kompleks Uthmaniyyah yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Abdu Rozak Muhammad.

Zawawi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Semerak berkata berikutan itu penternak ikan air payau dalam sangkar tersebut boleh diusir pada bila-bila masa apabila pihak resort yang dimiliki oleh orang luar dari Kelantan itu ingin melaksanakan projek komersial di kawasan berkenaan.

Beliau berharap pihak berkenaan mengkaji semula arahan itu bagi mengelak penternak hilang mata pencarian.

Katanya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meluluskan peruntukan sebanyak RM40,000 bagi menggali kuala yang tertimbus itu sejak minggu lepas tetapi terpaksa menimbusnya semula hari ini berikutan arahan daripada pengurusan resort dan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh.

Sumber: Bernama | 27 Sept. 2016

Mufti Kelantan seru orang Islam sokong pindaan Akta 355

KOTA BHARU: Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyeru orang Islam agar menyokong pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 yang bertujuan memartabatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.

Mohamad Shukri pada masa yang sama, turut menasihati anggota Parlimen khususnya yang beragama Islam agar menyokong pindaan tersebut apabila ia dibahaskan di sidang Dewan Rakyat pada sesi akan datang.

"Memang wajib (menyokong)...kenapa tidak mahu melihat perkara baik berlaku dalam Mahkamah Syariah. Kalau sebelum ini, bidang kuasa Mahkamah Syariah rendah, kalau beri sedikit kuasa, apa masalahnya.

"Dalam al-Quran ada menyebut, bertolong, membantu dalam hal-hal kebaikan, kebajikan dan taqwa merupakan benda yang baik, jadi semua patut sokong perkara baik (Akta 355)," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Mahabbah Ulama di sini, Isnin.

Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan merasmikan majlis berkenaan yang turut dihadiri Anggota Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Datuk Zakaria Stapa dan lebih 1,000 pelajar pondok seluruh negeri.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata akta berkenaan sebelum ini dipinda sebanyak dua kali tanpa sebarang masalah ataupun mendapat bantahan daripada mana-mana pihak.

Justeru, beliau melihat tentangan terhadap pindaan Akta 355 banyak dikemukakan oleh parti politik yang disifatkan mempunyai kepentingan masing-masing.

"Saya pun tidak faham. Pindaan Akta 335 ini kalau diluluskan, ia hanya bertujuan meningkatkan lagi bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Kalau kita tengok tentangan ini banyak daripada parti-parti politik, barangkali ada isu-isu yang ada kepentingan masing-masinglah," katanya.

Sumber: Bernama | 26 Sept. 2016

Madu tualang berkesan atasi masalah tulang rapuh - kajian USM

KOTA BHARU: Kajian oleh sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati madu tualang berkesan membantu masalah osteoporosis (tulang rapuh) dalam kalangan wanita menopause (putus haid), setanding dengan ubat moden.

Timbalan Dekan (Bahagian Penyelidikan) Pusat Pengajian Sains Perubatan USM Prof Dr Rosline Hassan berkata penemuan itu hasil kajian sejak 2006 melibatkan sekumpulan wanita berusia 45 tahun dan ke atas.

"Kami membuat satu perbandingan antara wanita yang diberikan madu tualang secara konsisten iaitu sebanyak 20 gram sehari selama empat bulan dengan wanita yang mengambil ubat moden.

"Kajian mendapati madu tualang mempunyai kebaikan yang sama dengan ubat moden dari segi ketumpatan tulang," katanya kepada Bernama di luar Koloquium mengenai Kajian Produk Semulajadi dalam Kesihatan, di USM Kubang Kerian di sini Isnin.

Dr Rosline berkata kajian sama turut dilakukan ke atas perokok dan didapati tahap keracunan dalam tubuh mereka berkurangan selepas mengambil madu tualang sebanyak 20 gram sehari selama tiga bulan.

"Pembuktian secara saintifik ini menunjukkan produk semulajadi mempunyai kelebihan tersendiri yang perlu terus diterokai penyelidik negara khususnya penyelidik USM dari semasa ke semasa," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketulenan produk semulajadi terutama madu tualang perlu ditekankan untuk memastikan ubat-ubatan tradisional berkualiti serta selamat untuk digunakan.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM Prof Dinsuhaimi Sidek, yang membuka kolokium itu, berkata penggunaan ubat-ubatan tradisional adalah sebanyak 69.4 peratus di Malaysia terutamanya dalam terapi berasaskan herba untuk mengekalkan kesihatan.

Kolokium berkenaan diadakan bagi mengumpul para penyelidik untuk berkongsi maklumat terkini berkaitan penyelidikan produk semulajadi dalam bidang kesihatan.

Antara topik lain yang dibentangkan ialah penggunaan produk ikan haruan, tongkat ali dan hempedu bumi dalam menangani isu kesihatan seperti penyembuhan luka, kanser dan kesihatan lelaki.

Sumber: Bernama | 26 Sept. 2016

Safee difitnah meninggal dunia

Safee Sali
KUALA LUMPUR: Penye­rang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safee Sali menyelar individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu bahawa dia meninggal dunia hari ini kerana serangan jantung. 

Safee berkata, dia memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu yang dilihat boleh menjejaskan karier­nya sebagai pemain bola sepak profesional dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit. 

“Sudah pasti saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan berita palsu mengenai kematian saya. Saya akan menemui peguam untuk mendapatkan pandangan dan nasihat apakah tindakan yang sepatutnya diambil. 

“Berita tidak benar seperti ini menjejaskan karier saya sebagai pemain bola sepak dan saya mengutuk perbuatan ini sekeras-kerasnya. Ini adalah tindakan yang tidak bermoral sebab cuba menjatuhkan maruah orang lain yang masih sihat. 

“Saya juga akan membuat laporan mengenai perkara ini kepada polis untuk melindungi diri dan keluarga saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Safee, 32, dikatakan me­ninggal dunia akibat serangan jantung dan berita itu disebarkan menerusi Facebook Harian Metro News yang sebenarnya adalah akaun palsu.

Sumber: Utusan Malaysia | Sukan | 26 Sept. 2016 | Terbitan 27 Sept. 2016

Ahad, 25 September 2016

Wawancara: Umno Kelantan sudah ada calon untuk PRU14

Mustapa Mohamed
TIADA siapa yang boleh menyangkal kerja keras Datuk Seri Mustapa Mohamed sama ada di peringkat pusat mahupun Kelantan.

Walaupun sibuk selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap perkembangan ekonomi negara, Mustapa yang lebih mesra dengan panggilan Tok Pa sentiasa turun padang bagi mengikuti denyut nadi rakyat.

Beliau mengakui hakikat bahawa keunikan politik di Kelantan memaksa beliau sentiasa peka dan mampu membawa idea baharu bagi mengatur strategi untuk mengembalikan Kelantan di bawah kepimpinan Umno.

Persoalannya, adakah Tok Pa mampu membawa Umno negeri mengorak langkah baharu termasuk membuang isu-isu yang membelenggu Umno negeri atau setidak-tidak memberi cabaran sengit kepada Pas dalam PRU14 nanti.

Beliau berkongsi perancangannya dalam wawancara eksklusif bersama Ketua Biro Sinar Harian Kelantan, MOHD ZAILANI ABD RAHMAN baru-baru ini.

Apakah senario semasa Umno Kelantan. Adakah sudah bersedia menghadapi PRU yang dijangka diadakan dalam tempoh dua tahun dari sekarang?

Kesan sentimen nasional terhadap pola pengundian di Kelantan adalah besar. Sejarah membuktikan keputusan pilihan raya 1990, 1999, 2004 dan 2008 sangat dipengaruhi suasana politik peringkat nasional.

Oleh itu, penjelasan yang berkesan mengenai isu-isu nasional amat penting. Kita perlu mengenal pasti sentimen dan memahami denyut nadi rakyat di peringkat bawah. Ketika pilihan raya 2004, sentimen nasional ketika itu adalah yang terbaik semenjak 1990.

BN Kelantan berjaya menang 9 kerusi parlimen dan Pas hanya 5 kerusi. Manakala di peringkat Dun pula kedudukannya BN memperoleh 21 kerusi berbanding 24 untuk Pas, dan akhirnya ia menjadi 22-23 apabila kita menawan PRK Pengkalan Pasir.

Melihat kepada prestasi baik pada 2004, ada yang menjangkakan dalam pilihan raya 2008 kita mampu mengambil alih Kerajaan Kelantan tetapi itu tidak berlaku apabila kita gagal menangani serangan-serangan media sosial. Kita pernah gagal sekali PRU 2013, walaupun bilangan kerusi Parlimen dan Dun bertambah.

Semangat kita naik selepas PRK Pengkalan Kubor tahun 2014. Kita jadikan Pengkalan Kubor sebagai 'template', pertamanya dalam soal calon, pilihan kita mengejutkan beberapa pihak.

Ramai tak sangka dengan pilihan kita. Yang penting dalam PRK Pengkalan Kubor calon tidak langsung menjadi isu. Calon kita diterima. Ini menyenangkan kerja kita.

Keduanya, parti bersatu. Jentera berfungsi dengan baik. Ketiga, ketika itu tiada isu nasional yang mempengaruhi sentimen pengundi. Pas pula berhadapan dengan bibit-bibit perpecahan, termasuk Pasma dan kritikan yang dibuat oleh Naib Presidennya sendiri ketika itu, Datuk Husam Musa.

Sebelum PRU 2013 kita lihat ramai orang turun semasa Perdana Menteri (PM) melawat Pasir Puteh dan Machang. Kita merasakan sokongan kepada kita memberangsangkan. Gelombang Merah cukup meyakinkan.

Ia nampak akan memberi kesan yang positif kepada kita. Kita cuba sedaya upaya, tetapi kita gagal oleh kerana pengundi dipengaruhi isu nasional.

Isu nasional penting dalam pilihan raya di Kelantan antara lainnya kerana ramai rakyat Kelantan berada di Lembah Klang dan di bandar-bandar besar seluruh negara.

Pengundi luar ini, pulang mengundi berpandukan sentimen mereka terhadap isu nasional, bukan bersandarkan suasana di Kelantan. Pada pandangan saya, kalau lebih separuh pengundi luar menyokong kita, harapan menang Kelantan lebih cerah.

Menjejaki pengundi-pengundi luar ini bukan mudah. Kita akui sukar untuk menjejaki semua. Jumlah mereka adalah besar, antara 15-20% setiap Dun dan Parlimen. Tetapi, untuk PRU14 kita lebih agresif. Kita akan terus mendekati mereka. Kita akan wujudkan Gelombang Merah di Lembah Klang juga.

Bagaimana isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) boleh mempengaruhi sokongan pengundi?

Isu 1MDB adalah isu perniagaan dan tadbir urus. Benar ia mendapat perhatian di peringkat nasional tetapi di negeri Kelantan, ‘bread & butter issues’ atau isu-isu harian yang melibatkan kebajikan rakyat juga memainkan peranan dalam menentukan sikap pengundi.

Saya rasa isu-isu pembangunan lebih relevan kali ini. Contohnya isu pembinaan infrastruktur seperti lebuh raya, hospital dan juga masalah air di Kelantan.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan untuk pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu dan Hospital Kuala Krai.

Kerajaan Persekutuan komited dalam melaksanakan janji pembangunan ini. Manakala dalam isu air pula, kita sudah memuktamadkan rundingan berkenaan pengambilalihan aset air atau migrasi air di antara Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) serta Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Migrasi air ini akan mula dilaksanakan tidak lama lagi dan kita berharap ia mampu memperbaiki situasi bekalan air di Kelantan.

Berbalik kepada isu 1MDB, ia sudah tentu menjadi perhatian, kita tidak boleh elak. Penjelasan perlu dibuat dengan lebih meyakinkan. Ia melibatkan isu teknikal, undang-undang, perniagaan, kewangan dan soal ketelusan. Isu ini bukan straight forward, jadi penerangan perlu diberikan oleh mereka yang benar-benar berwibawa dengan cara yang mudah untuk difahami oleh rakyat.

Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan menyokong tindakan PM dalam menangani hal ini. Kita berpendirian bahawa tidak harus ada kompromi dalam soal ini. Tidak kiralah siapa yang buat salah, yang bersalah mesti dikenakan tindakan sewajarnya.

Kita berpendapat isu ini perlu segera diselesaikan supaya kita boleh 'move on'. Rakyat mahu melihat isu ini diselesaikan segera.

Kita dapati pembangkang sekarang ini berpecah, Amanah, Pas dan isu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Kita tidak mahu isu-isu nasional akan menutup isu-isu yang melanda mereka, khususnya perpecahan yang melanda pembangkang.

PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar melihat satu kebangkitan BN yang hebat. Kita telah membuat penjelasan kepada rakyat tentang isu-isu nasional termasuk 1MDB.

Yang penting kita rancakkan penerangan. Zaman sudah berubah, kaedah penerangan dan kempen kita juga perlu mengikut perkembangan masa kini. Hari ini ianya lebih mencabar dengan Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram dan WeChat. Kita harus menguasai medium ini.

Strategi sosial media amat penting sekali. Maklumat hendaklah disampaikan dengan cepat dan dalam bentuk yang menarik. Walaupun beberapa perubahan telah kita lakukan dalam penyampaian maklumat, banyak lagi yang perlu dibuat untuk meyakinkan rakyat.

Isu air dan pembangunan hangat di negeri ini. Apa pendirian Umno Kelantan?

Dalam isu air, beberapa perbincangan dengan kerajaan negeri telah diadakan. Migrasi air hampir sampai ke destinasi. Kerajaan negeri telah gagal menyelesaikan isu ini meskipun sudah berpuluh tahun memerintah. Yang penting kita hendak masalah ini dapat diselesaikan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

Bagaimanapun, migrasi air tidak bermakna masalah air dapat diselesaikan dalam sekelip mata. Kalau migrasi tanpa apa-apa perubahan, kalau pengurusan masih tidak cekap, tiada jaminan isu bekalan air dapat ditangani.

Dalam isu Lebuh Raya Kota Bharu–Kuala Krai, kita bersyukur pembinaan fasa 1B Pasir Hor-Kadok dan fasa 2A Kadok-Ketereh sepanjang 15 kilometer sedang berjalan lancar.

Saya dah sebut banyak kali, lebuh raya ini keutamaan nombor satu. Kita tidak mahu Kelantan ketinggalan. Kita mahu pembinaannya disegerakan. Pembinaan ini adalah antara menjadi perjuangan saya di Kelantan.

Selepas Lebuh Raya Kota Bharu - Gua Musang selesai kita mahu Lebuh Raya Pantai Timur disambung dari Kuala Terengganu ke Kelantan. Lebuh Raya Timur - Barat  yang sudah berusia lebih 30 tahun juga perlu dilebarkan.

Kita ucap terima kasih kepada PM kerana di bawah RMK11, Kelantan diberi perhatian amat tinggi berbanding rancangan-rancangan sebelumnya. Tidak pernah di bawah PM sebelumnya Kelantan mendapat perhatian cukup istimewa. Tapi, kita mahu pelaksanaan projek-projek yang dipersetujui ini disegerakan.

Setakat mana orang muda menyokong Umno Kelantan?

Satu lagi perkara yang diberi keutamaan oleh Umno Kelantan adalah golongan belia. Kalau ramai orang muda tidak bersama kita, sukar untuk kita tawan Kelantan. Kita perlu eratkan hubungan dengan NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan) seperti pertubuhan belia dan kumpulan budaya.

Selain itu saya sendiri banyak beri tumpuan kepada pelajar-pelajar universiti, melalui Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak) di mana saya adalah penaungnya. Pelajar IPT perlu didampingi secara berterusan. Begitu juga guru muda dan pensyarah muda.

Himsak telah berjaya merapatkan hubungan kita dengan puluhan ribu mahasiswa dan mahasiswi Kelantan di seluruh negara.

Selain itu, Majlis Belia Kelantan yang menghimpunkan NGO-NGO belia di negeri ini turut aktif dalam menyediakan platform untuk golongan belia. Mereka menjadi penghubung dalam menyampaikan aspirasi belia kepada Kerajaan, termasuk mengenai peluang-peluang pekerjaan.

Dalam soal pemimpin pelapis, saya hendak ucap terima kasih kepada PM kerana memberi kepercayaan kepada dua pemimpin muda dan berwibawa dari Kelantan iaitu Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki untuk mengisi jawatan Timbalan Menteri.

Mereka berdua merupakan pelapis yang berwibawa. Saya mengakui kita kekurangan pelapis. Kita perlu lebih ramai tokoh muda seperti mereka termasuk dari golongan agama.

Kita juga bersyukur Datuk Dr Awang Adek Hussein kembali menabur khidmat di Bachok selepas dua tahun lebih menjadi duta kita ke Amerika Syarikat. Kita berharap kembalinya beliau dalam politik secara aktif, dapat membantu Umno Kelantan.

Pada PRU lalu, Umno Kelantan kalah 15 kerusi dengan majoriti undi bawah 1,500.

Adakah ini signal Kelantan mampu dirampas semula?

Memang inilah kerusi-kerusi yang menjadi sasaran kita. Selain Dun yang kita kalah tipis, jangan lupa kita juga ada Dun yang kita menang tipis. Dalam kita meletak sasaran, kita perlu realistik. Kita sudah mengenal pasti kerusi-kerusi tumpuan. Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 3-4 kerusi Parlimen tambahan dan 27-30 kerusi Dun.

Kehadiran PM dan TPM (Timbalan Perdana Menteri) ke Kelantan merasmikan mesyuarat perwakilan di tiga bahagian barubaru ini mencerminkan kesungguhan BN menawan kembali Kelantan. Pucuk pimpinan tidak pernah give up dengan Kelantan. 

Ini telah menguatkan semangat kita semua, dalam pada itu jangan lupa untuk kerja habis-habisan tambah daftar pemilih. Kalau tidak harapan kita akan berkecai sekali lagi.

Benar, pembangkang berpecah, tetapi kita perlu bina kekuatan dalaman. Kita akan hidupkan semula semangat Gelombang Merah di Kelantan, di Lembah Klang dan di seluruh negara.

Apa faktor Umno memberi penekanan untuk mengenal pasti calon lebih awal?

Ini bukanlah kali pertama saya mengetuai PRU. Kalau dalam PRU-PRU lalu, selepas bubar baru kita hendak fikir soal calon, itu memeningkan kepala. Kali ini kita berfikir lebih awal, kita akan gandingkan tokoh berpengalaman dan baru. Sebenarnya, proses mengenal pasti calon sesuai sudah pun bermula. Kalau calon lewat ditentukan, dia tak sempat nak dapat sokongan rakyat.

Isunya sebelum ini, BN memberi perhatian dalam meletakkan calon ulama tetapi tidak mendapat sokongan bahagian hingga calon tidak diterima masyarakat? Calon yang akan kita tampilkan, tidak kiralah dari latar belakang apa sekalipun, mesti boleh
diterima pengundi setempat. Kita boleh meletakkan calon ulama, namun kita harus pastikan calon ini benar-benar ada kredibiliti dan mampu menang.

Dalam pada itu, bahagian-bahagian, Umno perlu lebih terbuka. Kita tidak boleh terlalu tinggi semangat kedaerahan.

Sebaliknya perhatian perlu diberikan kepada kebolehan dan kemampuan untuk cari kemenangan.

Kalau kita sayang kepada tokoh agama jangan kita sembelih dia. Kita jangan letak mereka di kawasan hitam. Insya-Allah kali ini kita akan fikir kawasan yang sesuai untuk ditandingi oleh tokoh-tokoh agama.

Bagaimana isu 'cah keting' yang menjadi barah kepada Umno Kelantan?

Secara peribadi saya berpendapat isu cah keting sebenarnya dibesar-besarkan. Kita akui memang ada, tetapi tidak seperti didakwa oleh sesetengah pihak. 'Cah keting' bukan perkara utama yang gagalkan Umno Kelantan. Apa pun saya harap kita terima keputusan Presiden dan percaya pada qada’ dan qadar dan 'cah keting' tidak berlaku.

Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi dalam ucapan di Kelantan baru-baru ini mengingatkan ahli-ahli Umno agar sentiasa turun padang dan tidak mengamalkan sikap 'cah keting'.

Benar seperti saya nyatakan tadi masalah ‘cah keting’ wujud, namun masalah lebih besar adalah sikap fanatik penyokong terhadap Pas. Juga kita perlu tangani isu-isu nasional dengan lebih baik. Meskipun masalah cah keting ini tidak begitu serius, namun kita perlu berjaga-jaga.

Sejauh mana manfaat diperoleh BN jika berlaku pertembungan tiga penjuru pada PRU nanti?

Banyak pihak merasakan kita boleh menang besar jika berlaku persaingan tiga penjuru antara BN, Pas dan Pakatan Harapan (PKR dan Amanah). Ada yang terlalu yakin persaingan tiga penjuru ini akan menjamin kemenangan untuk BN. Ini berdasarkan keputusan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Bukan rahsia lagi persaingan tiga penjuru dalam dua PRK baru lalu memang memberi kelebihan kepada kita. Tapi harus kita ingat parti-parti pembangkang pun sedar hakikat ini setelah melalui pengalaman di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Mereka pun sudah tentu mencari jalan untuk mengelak senario sebegini berlaku. Jadi jangan terlalu ghairah, kita tidak tahu apa akan berlaku esok atau lusa dalam pakatan pembangkang.

Pokoknya kita kena ada kekuatan sendiri, kekuatan dalaman dan tidak boleh bergantung kepada kelemahan orang. Tidak kiralah dua, tiga atau empat penjuru sekalipun, kita harus memastikan jentera Umno Kelantan bersedia bagi menghadapi PRU akan datang.

Bagaimana isu pakatan Pas-Umno?

Umno Kelantan tidak ada masalah untuk berkerjasama dengan Pas dalam isu-isu yang melibatkan pembangunan dan kepentingan rakyat.

Contohnya, semasa banjir hujung 2014 dan selepas banjir kita kerjasama demi rakyat Kelantan. Kerjasama Kerajaan Pusat dan negeri ini dalam mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Bharu adalah satu lagi contoh.

Kerajaan negeri menyediakan bangunan KB Bazar milik PKINK ditransformasikan menjadi UTC, manakala Kerajaan Persekutuan pula membelanjakan sejumlah kira-kira RM40 juta untuk menaik taraf dan mengubahsuai bangunan tersebut, serta pengambilalihan tanah.

Lain-lain bentuk kerjasama kita serah kepada pucuk pimpinan untuk tentukan hala tuju Umno-Pas. Apa sahaja keputusan yang dibuat kita akan akur. Sekarang ini kita tetap bekerja melawan musuh tradisi kita iaitu Pas.

Bagaimanapun, hakikat dalam politik tiada lawan atau kawan yang kekal selama-lamanya.

Bagaimana kekuatan Pemuda Umno dalam usaha menawan Kelantan?

Pemuda Umno Kelantan perlu lebih hebat, lebih gah. Mereka perlu kerjasama dengan NGO bagi mendekati golongan belia, pelajar IPT dan kumpulan budaya. Jentera Wanita Umno Kelantan sentiasa turun ke padang mendekati rakyat. Manakala, Puteri Umno Kelantan pun nampak lebih bersemangat.

Realitinya, sayap parti, khususnya Pemuda dan Puteri perlu tambah kekuatan dan NGO boleh membantu. Kita memerlukan satu pendekatan yang lebih agresif dan inklusif.

Kita perlu berdamping dengan anak muda.

Sumber: Sinar Harian | Wawancara | 17 Sept. 2016

Prasarana Pasar Terapung Pulau Suri akan ditambah baik

Pasar Terapung Pulau Suri, Tumpat, Kelantan.
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menambah baik prasarana di Pasar Terapung Pulau Suri di Tumpat termasuk menyediakan jeti yang lebih baik bagi keselesaan dan kemudahan pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Kelantan, Datuk Md Anizam Abd Rahman berkata usaha itu perlu dilakukan bagi menarik lebih ramai pengunjung sekali gus memberi peluang penduduk tempatan menjana pendapatan.

"Hasil tinjauan yang dilakukan semalam, kita dapati pasar terapung itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung tempatan dan luar. Lokasi tersebut mempunyai potensi besar sebagai satu lagi daya tarikan pelancongan di Kelantan.

"Namun, banyak lagi penambahbaikan yang perlu dilakukan dan sebagai permulaan, kami akan sediakan dan memasang papan tanda sebelum penambahbaikan prasarana lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Pameran Artifak Rasulullah dan Sahabat di Muzium Negeri di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (PMNK) Mohamad Nazwan Ismail.

Md Anizam berkata kewujudan Pasar Terapung Pulau Suri itu juga berjaya merancakkan aktiviti bot penambang selain memberi peluang kepada penduduk memasarkan produk tempatan.

Mengulas mengenai Pameran Artifak Rasulullah dan Sahabat, Md ANizam berkata sebanyak 30 hadiah pakej umrah dan 200 al-Quran digital bernilai kira-kira RM300,000 disediakan kepada pengunjung bertuah sempena pameran itu yang akan berlangsung dari 5 Oktober hingga 15 November ini.

Md Anizam berkata kira-kira 22 artifak berharga Rasulullah dan sahabat bakal dipamerkan pada pameran tersebut termasuk artifak kesan tapak kaki, pedang, darah bekam, cop mohor, serban dan capal selain kain penutup makam Rasulullah SAW dan kain pintu Kaabah.

Beliau berkata sebanyak 200,000 pengunjung tempatan dan luar negara termasuk dari Singapura dan Brunei dijangka memeriahkan pameran berkenaan yang akan dibuka setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 10 malam.

Sumber: mStar Online | 25 Sept. 2016

Polis Kelantan rampas 62,000 pil kuda bernilai RM1.24 juta di Tumpat

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas sebanyak 62,000 pil kuda bernilai RM1.24 juta dalam serbuan di Wakaf Bharu, Tumpat, Khamis lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata rampasan itu adalah hasil operasi sepasukan anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat dan merupakan antara kejayaan terbesar polis Kelantan pada tahun ini.

Ab Rahman berkata dalam kejadian pada 4.20 petang itu, pasukan tersebut yang melakukan operasi di Kampung Pasir Pekan Hilir mengesan seorang pemuda dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta sebelum bertindak menahan suspek.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek berusia 24 tahun itu, menemukan satu beg kain di kerusi hadapan sebelah pemandu yang mengandungi 6,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM120,000.

"Suspek kemudiannya membawa anggota polis ke sebuah rumah di Wakaf Bharu, kira-kira 8 kilometer dari tempat dia ditahan dan menyerahkan sebuah beg berisi 56,000 pil kuda dianggarkan bernilai RM1.12 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari Ahad.

Mengulas lanjut, Ab Rahman berkata hasil siasatan mendapati suspek mempunyai kesalahan lampau di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol pada 2011.

Beliau berkata ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek adalah negatif dan pemuda berkenaan direman tujuh hari bermula tarikh tangkap sehingga Khamis ini.

Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rahman berkata dalam Operasi Bersepadu di Kuala Krai dan Gua Musang bermula pukul 10 malam hingga 9 pagi hari ini, polis menahan 103 individu bersabit dengan pelbagai kesalahan dadah serta jenayah.

Beliau berkata dalam operasi itu juga, pihaknya turut merampas 1,168 biji pil kuda, air ketum, daun ketum, heroin dan ubat batuk bernilai RM23,420.

"Polis Kelantan akan terus menjalankan operasi di setiap dua daerah setiap minggu bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan setakat ini kita telah melakukan operasi di 15 kampung di Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tumpat dan Machang," katanya.

Sumber: Bernama | 25 Sept. 2016

Festival Kelantan tawar 100 gerai makanan tradisi

Pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai juadah tradisi sempena Kelantan Festival di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU: Pesta makanan terbesar di negeri ini, Festival Kelantan kembali mene­mui orang ramai di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini bermula semalam hingga 1 Oktober ini.

Festival anjuran Vinspire Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan itu merupakan edisi kedua dan kali ini menampilkan lebih 100 gerai yang menawarkan makanan Kelantan, Thailand dan Kemboja.

Antara juadah tra­disi menarik yang boleh didapati ialah nasi kerabu, nasi dagang, nasi koamok, laksam, somtam, pulut mangga, pulut ayam, pulut durian, makanan laut kering serta pelbagai jenis jeruk.

Wakil penganjur, Joey Tong berkata, festival tersebut yang dibuka bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan makanan tradisi kegemaran masing-masing pada harga berpatutan.

“Sebanyak 30 usahawan dari Thailand dan 16 usahawan Pasar Kemboja dari negeri-negeri di utara mengambil bahagian dalam festival kali ini. Selebihnya pula merupakan usahawan tempatan.

“Selain menikmati pelbagai makanan tradisi, orang ramai juga berpeluang membeli-belah pelbagai jenis barangan lain seper­ti pakaian, tudung dan cenderamata dengan harga cukup murah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Joey, di samping gerai jualan makanan sebagai tarikan utama, pihak penganjur turut menyediakan pelbagai persembahan kesenian sebagai aktiviti sampingan bagi memeriahkan festival tersebut.

Antaranya kata beliau, persembahan gasing terbang, silat tari, wayang kulit, rebana ubi, kertuk, dikir barat serta demonstrasi pembuatan wau.

“Sempena Kelantan Festival 2016, kita turut menganjurkan pertandingan bergambar selfie ter­buka kepada orang ramai. Mereka hanya perlu berkongsi gambar dengan hashtag #kelantanfestival di akaun Instagram dan Facebook masing-masing.

“Gambar terbaik mengenai Kelantan Festival dengan kete­rangan gambar paling kreatif berpeluang memenangi pakej per­cutian tiga hari dua malam ke Bangkok, Thailand,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | 24 Sept. 2016 | Terbitan 25 Sept. 2016

Aktiviti kokurikulum bantu pelajar hindari kegiatan tidak sihat

KOTA BHARU: Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum terutama dalam pasukan badan beruniform mampu menjadi benteng daripada terjebak kes jenayah, dadah dan gejala sosial.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata menerusi kegiatan kokurikulum, pelajar dapat mendisiplinkan diri, sekali gus boleh menjadi contoh kepada pelajar lain.

"Sejak kebelakangan ini pembabitan pelajar dalam kes jenayah, dadah dan gejala sosial amat membimbangkan.

"Masalah ini jika tidak ditangani dengan bijak akan menjadi barah yang boleh merosakkan masa depan remaja dan masyarakat. Justeru pelajar seharusnya membabitkan diri dalam aktiviti sihat seperti Kor Kadet Polis," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan konvoi perkhemahan Kor Kadet Polis Diraja Malaysia (KKPDRM) Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, Ahad.

Seramai 33 pelajar tingkatan dua dan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat akan menyertai perkhemahan peringkat kebangsaan KKPDRM di Kem Pengakap Tengku Muhamad Ismail dekat Telaga Batin, Kuala Nerus, Terengganu bermula esok sehingga Khamis.

Sumber: Bernama | 25 Sept. 2016

Polis rampas pil kuda dan senapang buatan sendiri

KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sebanyak 8,400 biji jenis pil kuda bernilai RM168,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Pasir Tumboh di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata jurujual minyak wangi berusia 23 tahun itu dipercayai pengedar dadah di kawasan itu dan polis turut merampas dua buah kereta jenis Perodua Kelisa dan Viva.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan ditahan remain sehingga 29 Sept ini, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari Sabtu.

Dalam kes berasingan, katanya, polis menahan seorang peneroh getah berusia 31 tahun dan merampas sepucuk senapang patah buatan sendiri serta 10 butir peluru jenis 12 bore di Kampung Sungai Sok, Kuala Krai, Rabu lepas.

Beliau berkata ketika ditahan, lelaki terbabit menyembunyikan senapang patah itu dalam siling bahagian dapur rumahnya bersama sebatang besi laras senapang sepanjang 71.12 sentimeter.

"Siasatan mendapati lelaki terbabit mendakwa senapang itu adalah milik arwah ayahnya iaitu anggota Rela yang meninggal dunia tahun lalu.

"Dia juga memberitahu ayahnya mulai belajar membuat senapang sejak 2006 dengan menggunakan besi yang dikimpal serta kayu," katanya.

Katanya lelaki itu juga mendakwa senapang adalah sebagai kegunaan untuk menjaga kebun buah-buahan dan getah daripada serangan binatang buas.

"Polis bagaimanapun terpaksa menahan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8(a) akta yang sama.

Sementara itu, enam lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan dalam operasi bersepadu yang dilancarkan oleh Bahagian Narkotik IPK Kelantan bermula pukul 10 malam tadi sehingga awal pagi ini.

Ab Rahman berkata kesemua lelaki berusia antara 18 dan 42 tahun itu ditahan di sekitar Jalan Kubur Maras dan Pintu Geng di sini.

"Hasil operasi itu, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah seperti pil kuda, ubat batuk, air ketum dan daun ketum serta pil Eramin 5 bernilai RM8,805," katanya.

Sumber: Bernama | 24 Sept. 2016

Dua sahabat penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMK

KOTA BHARU: Dua sahabat iaitu Farhana Othman dan Devi Nallappan yang pernah belajar di sekolah sama sejak tingkatan satu hingga lima menerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Istiadat Konvokesyen Ke-6 Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, hari ini.

Farhana, 24, graduan jurusan Sarjana Muda Pengajian Warisan mengumpul Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.73 manakala Devi, 24, memperoleh Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Bioindustri) mendapat PNGK 3.78.

Farhana berkata dia tidak menyangka akan berkongsi anugerah yang sama dengan Devi yang ditemui semula ketika melanjutkan pelajaran ke universiti itu sejak empat tahun lepas.

"Kami pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Mahadi, Klang selain mengikuti kelas tambahan di luar bersama-sama. Selepas Sijil Pelajaran Malaysia kami berpisah kerana masing-masing menyambung pengajian peringkat prauniversiti di institusi berlainan.

"Di UMK, kami bersaing untuk mendapatkan keputusan cemerlang setiap semester. Alhamdulillah. Saya mendapat anugerah dekan setiap semester kecuali semester pertama manakala Devi berjaya menerima anugerah dekan pada setiap semester," katanya kepada pemberita di sini, hari Sabtu.

Sementara itu Devi berkata meskipun berlainan jurusan, mereka sering meluangkan masa mengulang kaji pelajaran bersama-sama.

Istiadat konvokesyen UMK selama empat hari yang bermula hari ini akan melibatkan penganugerahan ijazah kepada 1,766 graduan.

Sumber: Bernama | 24 Sept. 2016

Tubuh akademi pemikir untuk bangunkan Kelantan - Tengku Mahkota Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dan Persekutuan diminta bekerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi menubuhkan sebuah akademi pemikir bagi membangunkan negeri itu.

Tengku Mahkota Kelantan yang juga Procancelor UMK Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra bertitah anggota akademi tersebut harus terdiri daripada profesor dan pakar dari UMK, kerajaan negeri dan persekutuan.

"Kerjasama itu bertujuan untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan di Kelantan, di samping mengenal pasti hala tuju dan peluang untuk membangunkan negeri ini," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Konvokesyen UMK Ke-6 di sini, hari ini.

Baginda bertitah antara isu yang perlu diberi perhatian untuk diselesaikan oleh akademi itu adalah bekalan air bersih, banjir, pengurusan sampah, alam sekitar, sosioekonomi masyarakat luar bandar dan penyalahgunaan dadah.

Kewujudan UMK memberi impak yang besar kepada negeri Kelantan dalam pembangunan insan dan masyarakat, menjana ekonomi, sektor pertanian, pendidikan dan pembangunan wilayah, titah baginda.

"Sehubungan itu beta ingin melihat impak yang lebih besar dalam pelbagai sektor. UMK memerlukan strategi yang lebih menyeluruh dan dinamik," titah baginda.

Seramai 1,766 graduan daripada empat fakulti akan menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen selama empat hari mulai hari ini.

Pada istiadat itu, baginda berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Warisan) kepada Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Melaysia Tan Sri Dr Rais Yatim.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed.

Sumber: Bernama | 24 Sept. 2016

Sabtu, 24 September 2016

150 sukarelawan bersihkan Pasar Besar Siti Khadijah

KOTA BHARU: Kira-kira 150 sukarelawan termasuk penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota Bharu dan petugas Majlis Pembandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) terbabit membersih Pasar Besar Siti Khadijah dan kawasan sekitarnya di sini, menerusi Program Volunteer Malaysia (iM4U) 2016, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif iM4U, Rudy Malik, berkata program yang dijalankan serentak seluruh negara hari ini bertujuan memupuk semangat kesukarelawan dan aktiviti sosial dalam masyarakat terutama golongan belia.

Katanya, program ini yang diperkenalkan sejak tahun 2014 dilaksanakan secara kerjasama dengan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

"Volunteer Malaysia adalah aktiviti sukarelawan terbesar yang dilakukan iM4U. Melalui program ini, kami menyasarkan memupuk sikap masyarakat lebih mengambil berat dan bertanggungjawab.

"Hari ini, kami bekerjasama dengan kira-kira 150 penuntut UiTM dan petugas MPKB-BRI membersih Pasar Besar Siti Khadijah dan kawasan berhampiran dalam misi menjaga kecantikan tempat pelancongan di negeri ini.

"Dalam program ini, kami turut melakukan aktiviti penanaman pokok, memperbaiki semula harta benda awam dan usaha mencegah pembiakan nyamuk aedes," katanya ketika ditemui di sini.

Program dirasmikan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu, Wan Razman Datuk Wan Hassan mewakili Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

Terdahulu dalam ucapannya Wan Razman berkata, program yang digerakkan oleh iM4U ini mampu membudayakan masyarakat terutama golongan muda dalam menjaga kebersihan tempat perlancongan.

"Pasar Siti Khadijah adalah salah satu daya tarikan kepada pelancong di negeri yang perlu sentiasa dijaga dan pelihara," katanya.

Sumber: Berita Harian | Edisi Timur | 24 Sept. 2016

Lebih 10,000 sertai Fit Malaysia di Machang

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memulakan kayuhan pada program Fit Malaysia Peringkat Negeri Kelantan di padang Sekolah Menengah Sains Machang di Machang, pagi tadi.
MACHANG: Lebih 10,000 orang menyertai program Fit Malaysia Peringkat Negeri Kelantan di padang Sekolah Menengah Sains (SMS) Machang, di sini, hari ini. 

Pada program berkenaan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut serta menerusi acara kayuhan basikal sejauh 30 kilometer sekitar daerah ini bermula di padang sekolah berkenaan kira-kira jam 7.30 pagi membabitkan kira-kira 1,500 peserta. 

Selain acara kayuhan basikal sejauh 10 kilometer dan 30 kilometer, turut diadakan larian sejauh 10 kilometer dan 30 kilometer di samping aktiviti body combat, sh'bam, body attack, body balance, zumba dan stick2stick

Khairy berkata, walaupun program itu diadakan di luar bandar, namun ia mendapat sambutan orang ramai yang menunjukkan masyarakat Malaysia semakin meminati bidang sukan sekali gus ke arah gaya hidup sihat. 

"Kita sasarkan lebih 20 peratus rakyat negara ini terbabit dalam bidang sukan tahun ini berbanding hanya 10 peratus daripada jumlah penduduk tahun lalu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan, hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Sumber: Berita Harian | Edisi Timur | 24 Sept. 2016

Kelantan sasar 5 juta pelancong

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mensasarkan kehadiran lima juta pelancong ke negeri ini menjelang Disember ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri Datuk Md Anizam Ab Rahman, berkata sehingga Julai 2016 seramai tiga juta kedatangan pelancong telah direkodkan

"Kita mengadakan pelbagai program berbentuk kebudayaan dan kesenian bagi menarik minat pelancong ke negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada peserta pertandingan dikir laba, di Tambatan Diraja, di sini, semalam. 

Anizam berkata, keunikan budaya, banyak tempat menarik dan paling utama mempunyai kepelbagaian makanan menjadi antara faktor membuatkan pelancong tertarik mengunjungi negeri ini.

"Kerajaan negeri akan mengadakan pelbagai program bagi menarik kehadiran dua juta lagi pelancong sehingga akhir tahun ini bagi memenuhi sasaran. 

"Sebenarnya sasaran sebenar kedatangan pelancong ke negeri ini tahun ini adalah enam juta namun disebabkan faktor kelembapan ekonomi, kita sasarkan lima juta," katanya. 

Mengenai dikir laba, beliau berkata, dikir berkenaan berasal dari Timur Tengah dan dibawa oleh pedagang Arab satu masa dahulu dan ia akan dipopularkan semula kepada generasi sekarang.

"Berbeza dengan dikir barat, dikir laba tidak mempunyai 'tok jogho', tukang karut serta alat muzik dan menggunakan kesepakatan suara dalam menyampaikan sesebuah lagu dan bahasa digunakan adalah bahasa Kelantan yang lama," katanya. 

Sebanyak empat kumpulan menyertai pertandingan dikir laba dengan kumpulan Kubang Tembesu muncul sebagai juara yang membawa pulang trofi serta wang tunai RM1,000 manakala naib johan dimenangi kumpulan Azimat Sri Tujuh Tumpat, membawa pulang trofi serta wang tunai RM700.

Sumber: Berita Harian | Edisi Timur | 24 Sept. 2016

PKINK sasar 5,000 unit RMMK menjelang 2020

Contoh unit Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) Pasir Mas (Fasa 2).
KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menyasarkan 5,000 unit Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) menjelang tahun 2020. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Hal Ehwal Korporat) PKINK, Mazli Zakuan Mohd Noor, berkata antara unit rumah yang bakal dibangunkan merangkumi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus (B40) dan berpendapatan 50 peratus kelas menengah (M50). 

"Sehingga kini, sebanyak 500 unit RMMK sudah siap dibangunkan termasuk 30 unit rumah di Taman Ubudiyyah Labok, Machang, 48 unit di Taman Seri Mesa, Pasir Mas, 64 unit di Pasir Genda, Tanah Merah dan 334 unit di Badang, di sini. "Harga ditawarkan bermula RM60,000 seunit. 

Oleh itu, pembangunan rumah mampu milik akan berterusan untuk memastikan hasrat rakyat memiliki rumah di negeri ini tercapai, sekali gus merealisasikan sasaran 5,000 unit RMMK yang ditetapkan kerajaan negeri hingga tahun 2020," katanya pada sidang media di Bangunan PKINK, di sini, hari ini. 

Dalam perkembangan lain, Mazli berkata, seramai 100,000 orang dijangka membanjiri Ekspo Jubli Emas Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sempena 50 tahun penubuhan perbadanan itu, pada 27 September hingga 1 Oktober ini. 

Katanya, pelbagai aktiviti diadakan bagi menarik pengunjung, antaranya tawaran pemilikan hartanah, penjualan produk pertanian dan khidmat guaman percuma. 

"Ekspo itu diadakan untuk memperkenalkan semula perbadanan kepada masyarakat sebagai satu badan utama dalam ekonomi negeri. 

"Kita mahu mempromosikan produk hartanah, perkhidmatan, pertanian, industri dan pelancongan kepada rakyat di negeri ini yang akan berlangsung di Aeon Mall Kota Bharu," katanya.

Sumber: Berita Harian | Edisi Timur | 22 Sept. 2016

Kota Bharu setaraf kota fesyen dunia

Mortaza Mohamed (kiri) menerima kain batik lukis hasil kerja pelajar UMK dalam Majlis Malam Gala Batik sempena Minggu Fiesta Batik Malaysia 2016 di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan.
KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) me­­ng­o­rak langkah menjadikan negeri ini kota fesyen batik se­ba­ris dengan bandar-bandar fes­yen utama dunia melalui pe­nganjuran Malam Gala Batik sempena Minggu Fiesta Batik Malaysia 2016 di sebuah hotel di sini malam tadi.

Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed berkata, penganjuran program yang turut melibatkan pereka fesyen antarabangsa itu adalah tepat kerana Kelantan terkenal sebagai negeri yang memperjuangkan kesenian dan warisan batik.

Justeru, beliau berharap reka­an bertaraf antarabangsa yang di­persembahkan dapat memberi ce­tusan idea baru kepada pereka batik tempatan untuk terus berkarya menghasilkan produk batik yang mampu menjadi komoditi per­niagaan yang berdaya saing.

“Kita sedia maklum batik adalah warisan negara yang semakin diancam kepupusan, bilangan pengusaha batik yang aktif juga semakin berkurangan, jadi peng­anjuran program sebegini diharap meningkatkan komitmen semua pihak menjamin kelesta­rian industri dan warisan batik.

“Usaha ini juga strategi untuk mempromosikan batik tempatan sebagai modal pelancongan di samping bertepatan dengan agenda Tahun Melawat Kelantan 2016.

“UMK sebagai universiti yang menjadikan bidang warisan se­bagai fokus pengajian sangat menyokong segala usaha memartabat warisan negara ter­utama seni kraf batik, tanggungjawab mening­katkan industri batik tidak berupaya digerakkan sen­dirian tetapi perlukan kerjasama pelbagai pihak sama ada peringkat negeri mahupun persekutuan secara konsisten,” katanya semasa berucap di sini malam tadi.

Program diserikan dengan ke­hadiran Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz; Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman; Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Penasihat Minggu Fiesta Batik Malaysia 2016, Datuk Seri Raja Rezza Shah.

Sebanyak tujuh rekaan fe­syen batik telah dipersembahkan antaranya koleksi ‘Queen of Sheba’ daripada Festival Fesyen Islam (IFF); koleksi Istana Jawa daripada pereka Indonesia Ghea Panggabean; koleksi ‘Volare’ daripada pereka terkenal Tom Abang Saufi dan koleksi Ruzz Gahara ‘Gilded’ daripada pereka muda Nik Faiz Nik Amin.

Sumber: Utusan Malaysia | 20 Sept. 2016 | Terbitan 21 Sept. 2016

Banjir: Tabika Perpaduan di Kelantan diarah buat persiapan awal

PASIR PUTEH: Sebanyak 107 Taman Bimbingan Kanak-kanak Perpaduan (Tabika) di Kelantan terutama di kawasan berisiko tinggi diancam banjir diarah membuat persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan berlaku bencana itu bermula bulan depan.

Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kelantan Shukri Omar berkata simulasi menyelamat juga perlu diadakan di setiap tabika bagi memastikan keselamatan 2,553 kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun jika berlaku banjir mengejut.

Beliau berkata antara kawasan yang berisiko termasuk Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas.

"Pengurusan tabika juga diarah supaya memastikan segala peralatan mengajar, barangan elektronik, kerusi dan meja berada di kawasan yang lebih selamat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Pasir Puteh/ Bachok di sini, hari Sabtu.

Shukri berkata banjir besar yang melanda Kelantan pada 2014 seharusnya dijadikan pengajaran untuk mengatur langkah pencegahan awal yang lebih sistematik.

Katanya bencana tersebut menyebabkan kelas tabika mengalami kerosakan teruk merangkumi bangunan, kerusi, meja dan peralatan mengajar yang dianggarkan lebih RM600,000.

Sumber: Bernama | 24 Sept. 2016

PTPTN borrowers now blacklisted

PETALING JAYA: About 1.3 million PTPTN borrowers listed under the Central Credit Reference Information System (CCRIS) have a black mark on their credit rating because they failed to service their study loans on time, if at all.

National Higher Education Fund Corporation (PTPTN) deputy chief executive officer (policy and operations) Mastura Mohd Khalid said that once blacklisted in CCRIS, one’s credit rating could take a nosedive as one could be deemed a “bad paymaster”.

This can lead to financial institutions denying the person loans or other credit facilities.

She added that all PTPTN borrower would be listed in CCRIS once it was time for them to start paying back, which was six months after graduation.

Once someone is supposed to start repaying, we will list their names in CCRIS,” she told The Star yesterday.

Since it was formed in 1997 until July this year – a period of almost 20 years – there are 2.49 million PTPTN borrowers. PTPTN offers loans from diploma studies to PhD level.

However, having one’s name on CCRIS is a neutral thing in itself, as anyone who has a credit card, mortgage, vehicle loan, or any form of borrowing from licensed financial institutions will be listed on this database administered by Bank Negara Malaysia’s Credit Bureau.

“As such, having one’s name on CCRIS does not amount to a ‘punishment’, and those who regularly repay PTPTN need not worry if they are listed in CCRIS as their record would be clean,” said Mastura.

“CCRIS is a database used by financial institutions to evaluate those who apply for loans. If they are good paymasters, then their loan applications will be approved,” she said.

Mastura revealed that since PTPTN started to use CCRIS in 2015, more defaulters have come forward to negotiate for a more lenient repayment mode.

However, PTPTN has yet to resort to listing defaulters under the privately-operated Credit Tip Off Service (CTOS).

Depending on course and institution, maximum loan amounts can vary from RM4,750 to RM30,000 per year.

Mastura also said that borrowers were supposed to start paying back their loans six months after graduation even if no notice was sent from PTPTN.

The PTPTN website states that the notice will only be sent on the seventh month after graduation.

Since its inception, she said that 1.2 million borrowers had either fully paid up, or were servicing their loans.

Other than using CCRIS, PTPTN is also going after defaulters by entering their names on the Immigration Department’s list of people who are barred from leaving the country, a practice that began in 2008.

As of now, 111,001 people have been barred from travelling out of the country because they have failed to make payments for their PTPTN loans.

Mastura said since the travel blacklist was put in place, about 40% of defaulters had approached PTPTN to renegotiate their repayment, or to settle the outstanding amount owed.

However, she reminded defaulters that they should give PTPTN at least seven working days to remove their names from the tra­vel blacklist.

PTPTN is also not averse to taking defaulters to court. Mastura urged borrowers to service their loans once they received their first pay cheque.

“If your pay is too low, you can approach us to restructure your loan,” she said, adding that this would just mean a longer repayment period.

Last month, PTPTN chairman Datuk Shamsul Anuar Nasarah also had announced full loans could no longer be provided because of the poor rate of repayment, as only RM8bil was recovered out of RM56.4bil released since 1997.

Source: The Star | Nation | 24 Sept. 2016