![]()  | 
| Pasar Besar Siti Khadijah yang menjadi tumpuan utama pelancong di Kota Bharu, Kelantan. | 
Menurut peniaga beras, Wan Rosmadi Wan Hassan, 50, sempena 
Tahun Melawat Malaysia 2014 ini diharapkan pihak-pihak terbabit dapat 
melakukan penambahbaikan untuk keselesaan para peniaga dan pembeli.
"Dengan adanya penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas, barulah
 keadaan pasar ini menjadi lebih sistematik, teratur dan ceria.
"Pemantauan yang lebih kerap mampu memastikan tahap kebersihan pasar 
ini mencapai standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan," 
katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kata Wan Rosmadi, dia juga berharap supaya Jabatan Kesihatan negeri 
dapat memantau pasar tersebut dari semasa ke semasa bagi mengelakkan 
pembiakan nyamuk denggi di longkang-longkang yang tersumbat.
Sementara itu, peniaga buah-buahan, Asmah Mat Rani, 46, 
mengakui bilangan pelancong yang datang ke Pasar Besar Siti Khadijah 
sudah berkurangan berbanding 27 tahun lalu ekoran penempatan gerai yang 
tidak strategik dan terlindung.
Penempatan gerai yang terlindung, katanya, menyebabkan ramai peniaga 
di pasar tersebut yang 'gulung tikar' kerana kurangnya pembeli.
"Pelancong juga tidak berminat untuk datang ke pasar yang menjadi tarikan di Kelantan ini jika tidak mempunyai banyak pilihan. "Jadi, saya berharap MPKB-BRI dapat menyusun atur semula kedudukan 
gerai di sini terutama apabila lebih banyak pasar yang telah dibuka di 
kawasan sekitar Kota Bharu ini," katanya.
Seorang lagi peniaga, Nik Yusoff Nik Latif, 69, berkata, tiada
 tindakan tegas daripada MPKB-BRI menjadikan ramai peniaga di pasar 
tersebut yang berani menjual bermacam-macam jenis barangan walaupun 
tidak mempunyai lesen.
Walaupun sudah banyak kali didenda oleh pihak berkuasa tempatan 
(PBT), katanya, kebanyakan peniaga masih berdegil untuk menjual barangan
 yang tidak tertakluk dalam lesen mereka. "Hasil jualan saya terjejas teruk kerana terpaksa bersaing dengan 
peniaga di tingkat bawah yang turut menjual barangan sama sehingga 
menyebabkan pengunjung tidak berminat untuk naik ke aras atas.
"Disebabkan pihak MPKB-BRI sendiri telah menetapkan jenis gerai 
mengikut aras, jadi penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan 
dengan lebih tegas lagi," katanya.
Selain itu, Nik Yusoff tidak menafikan pihak MPKB-BRI ada menjalankan gotong-royong membersihkan kawasan pasar tersebut.
Bagaimanapun, dia mengharapkan PBT supaya lebih kerap mengadakan 
kerjasama untuk membersihkan pasar tersebut supaya para pelancong lebih 
selesa untuk membeli-belah.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 5 Januari 2014

Tiada ulasan:
Catat Ulasan