KOTA BHARU: Usaha Majlis Perbandaran
Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengadakan aktiviti gotong-royong
bersepadu di Pasar Besar Siti Khadijah dilihat sebagai langkah positif
dan terbaik untuk mengubah persepsi negatif pelancong selama ini.
Menurut seorang peniaga santan di pasar itu, Nurul Asmak Abd. Rahman, 35, kerjasama tersebut diharap dapat memberi keselesaan kepada peniaga dan pembeli untuk menjalankan urusan jual-beli.
Katanya, kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu
memudahkan para peniaga untuk mengenal pasti barang yang tidak
diperlukan lagi.
"Sebagai peniaga saya mengharapkan pihak MPKB-BRI dapat menjalankan
aktiviti sebegini secara berterusan bagi memastikan produk pelacongan
Kelantan ini sentiasa berada dalam keadaan bersih dan ceria.
"Penglibatan majlis perbandaran dalam program sebegini juga dapat
membantu peniaga-peniaga di sini untuk membersihkan gerai
masing-masing," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Bagi peniaga ikan, Mohd. Hassan Idris, 65, pula, aktiviti
gotong-royong yang diadakan besar-besaran itu dapat membersihkan Pasar
Besar Siti Khadijah secara menyeluruh.
"Adakala terdapat sisa-sisa buangan yang terjatuh dalam sistem
perparitan yang menyebabkan longkang tersumbat dan mengeluarkan bau
busuk.
"Aktiviti membersihkan pasar secara menyeluruh ini secara tidak langsung dapat menyelesaikan masalah tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Hassan mengharapkan pihak MPKB-BRI dapat
menambah bilangan penutup longkang yang terdapat dalam pasar terutama
pada bahagian peniaga-peniaga ikan.
Tambahnya, persatuan peniaga-peniaga ikan telah membuat permohonan
namun sehingga kini belum mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa
tempatan.
Sementara itu, penuntut Universiti Malaya (UM), Muhammad Syafiz Salman, 20,
yang pertama kali berkunjung ke Kelantan terkejut apabila melihat
keadaan Pasar Besar Siti Khadijah yang nampak tidak terurus dan kotor.
Dia juga tidak menyangka ikon pelancongan di Kelantan tidak dijaga dengan baik. "Pasar Besar Siti Khadijah yang saya lihat dalam gambar ternyata jauh berbeza dengan keadaan realiti.
"Untuk itu saya bersemangat untuk membersihkan pasar ini supaya
pelancong yang berkunjung ke sini tidak rasa tertipu," katanya yang
menyertai program khidmat masyarakat bersama 50 mahasiswa lain.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 20 Januari 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan