Pengunjung tidak selesa dengan keadaan pasar minggu ditakungi air. |
GUA MUSANG: Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) diminta supaya mengambil langkah membaiki tapak perniagaan pasar minggu di bandar baharu di sini, yang terbiar becak.
Ia bukan sahaja menimbul rasa tidak selesa kepada peniaga, malah juga kepada pengunjung untuk membeli barang keperluan di pasar tersebut pada setiap hari Jumaat.
Pengunjung mendakwa, cuaca yang kurang memuaskan sejak beberapa hari lalu dan keadaan hujan sepanjang hari menyebabkan setiap lorong di pasar itu ditakungi air serta becak.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, sesetengah lorong sudah disediakan batu bagi memudahkan orang ramai berjalan, tetapi masih banyak lagi lorong yang terbiar becak.
Menurut seorang pengunjung, Munah Hashim, 48, pihak berkenaan seharusnya mengambil langkah untuk membaiki kawasan pasar minggu itu supaya lebih selesa.
Katanya, memang sebelum ini kerajaan membina kawasan berturap tar tetapi ia tidak secara keseluruhan dan membabitkan sebahagian kawasan parkir kenderaan sahaja.
“Kalaulah keadaan ini terus dibiarkan begitu sahaja, sudah tentu akan menimbulkan banyak masalah kepada peniaga dan juga orang ramai,” katanya.
Kadir Hasbullah, 52, pula berkata, bandar baharu itu yang semakin dikunjungi orang ramai termasuk mereka yang dalam perjalanan sama ada ke Kuala Lumpur, Kota Bharu atau ke Ipoh.
“Oleh itu, adalah wajar bagi pihak berkenaan mengambil langkah untuk membaiki keadaan ini supaya peniaga lebih maju dan dapat menarik ramai lagi pengunjung,” katanya kepada Sinar Harian.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 13 Januari 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan